PAS Akan Menjadi Ketua Pembangkang Di Parlimen


PAS kini berada di kedudukan paling kukuh untuk menguasai jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen. 


Dalam program Reset Politik yang berlangsung semalam, Hamzah Zainuddin secara terbuka melaungkan bahawa beliau masih Ketua Pembangkang, satu kenyataan yang jelas ditujukan kepada Muhyiddin Yassin dan kem Bersatu. Namun, di sebalik laungan tersebut, kedudukan sebenar Hamzah bergantung sepenuhnya kepada realiti angka dan pengiktirafan institusi Parlimen.


Dari sudut prosedur, dakwaan Hamzah masih mempunyai asas. Selagi Yang di-Pertua Dewan Rakyat belum menerima surat rasmi daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang memaklumkan bahawa Hamzah tidak lagi mewakili parti itu, status beliau sebagai Ketua Pembangkang belum tergugur secara rasmi. 


Namun politik Parlimen tidak hanya bergerak atas syarat teknikal, sebaliknya ditentukan oleh kekuatan sokongan dan legitimasi politik.


Pemecatan Hamzah bersama 18 pemimpin Bersatu lain pada 13 Februari 2026 telah mengubah landskap pembangkang secara drastik. Kini, Hamzah hanya disokong sekitar 19 Ahli Parlimen yang berstatus bebas. Dalam masa yang sama, PAS muncul sebagai parti dominan pembangkang dengan 43 kerusi Parlimen manakala Bersatu hanya tinggal enam kerusi dan enam lagi bekal ahli parlimen Bersatu berstatus bebas secara terbuka menyokong Kerajaan Madani. Angka ini dengan sendirinya meletakkan PAS sebagai parti paling layak mengetuai blok pembangkang.


Pelantikan Ketua Pembangkang bukan dibuat melalui undian Parlimen sebaliknya melalui pengiktirafan Speaker berdasarkan sokongan parti atau gabungan terbesar dalam blok pembangkang. 


Dalam amalan demokrasi Parlimen, presiden parti tidak semestinya menjadi Ketua Pembangkang. Apa yang lebih penting ialah kekuatan kerusi dan kestabilan sokongan. Justeru, dari sudut konvensyen Parlimen, PAS memenuhi semua prasyarat untuk menuntut jawatan tersebut.


Namun, di sinilah dilema besar PAS bermula. Imej dan maruah parti boleh tercalar sekiranya PAS menyokong Hamzah sebagai Ketua Pembangkang, sedangkan sebelum ini PAS dengan penuh keyakinan mengangkat Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu merangkap Ahli Parlimen Kemaman, sebagai calon Perdana Menteri daripada PAS. Sokongan kepada Hamzah akan dilihat bercanggah dengan naratif kepimpinan yang telah dibina parti itu sendiri.


Sekiranya Samsuri pula diketengahkan sebagai Ketua Pembangkang, persoalan lain pula timbul berkaitan hierarki kepimpinan PAS. Apakah implikasinya terhadap Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS yang juga tokoh agamawan kanan parti? 


Situasi ini mencetuskan persepsi bahawa PAS terperangkap antara keperluan strategi politik dan sensitiviti dalaman parti.


Keadaan ini turut mengheret peranan Hadi Awang ke tengah perdebatan. Dalam kalangan penganalisis politik, semakin kuat pandangan bahawa keengganan Hadi untuk berundur telah meletakkan PAS dalam kedudukan serba-salah. 


Keputusan-keputusan strategik yang diambil kini kelihatan defensif, bukan berpandukan perancangan jangka panjang yang jelas.


Ini bukan kali pertama PAS berhadapan dengan krisis kepimpinan di peringkat nasional. Episod perebutan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional selepas peletakan jawatan Muhyiddin sebelum ini telah menzahirkan satu hakikat yang pahit bahawa PAS masih berdepan kekangan untuk menampilkan barisan pemimpin yang benar-benar diterima luas di peringkat nasional. Dalam konteks ini, isu Ketua Pembangkang bukan sekadar soal siapa memegang jawatan tetapi mencerminkan kemampuan PAS untuk memimpin pembangkang secara matang dan berwibawa.


Dengan angka dan realiti politik semasa, PAS berada di posisi paling kuat untuk mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang tetapi apakah PAS bersedia memikul tanggungjawab itu secara konsisten atau terus terperangkap dalam dilema kepimpinan yang dicipta oleh keputusannya sendiri?


Nampaknya PAS tidak lagi boleh menggunakan slogan “Kepimpinan Melalui Ulamak” yang selama ini hanyalah slogan menipu ahli dan penyokong sendiri jika masih menyokong Hamzah sebagai Ketua Pembangkang di parlimen.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.