Sejak kebelakangan ini, landskap politik pembangkang mula hangat dengan spekulasi baharu. Nama Ahmad Samsuri Mokhtar semakin kerap dibisikkan sebagai watak utama yang bakal mengisi ruang besar di Parlimen, khususnya kerusi Ketua Pembangkang yang kini dikaitkan dengan Hamzah Zainuddin. Di kem penyokong Parti Islam Se-Malaysia (PAS), beliau dilihat sebagai figura masa depan.
Namun dalam politik, sebutan nama sahaja tidak mencukupi. Jawatan sebesar Ketua Pembangkang bukan sekadar pertukaran individu. Ia soal kewibawaan, keupayaan memimpin naratif nasional dan keberanian menawarkan solusi kepada seluruh rakyat Malaysia.
Jawatan Ketua Pembangkang ni bukan jawatan glamour. Bukan sekadar nak ada nama atau gelaran. Ia perlukan konsistensi, kehadiran yang mantap, hujah yang tajam dan kebolehan menyatukan parti-parti dalam satu barisan yang kukuh. Ini pentas nasional, bukan pentas negeri. Kalau betul Samsuri nak buktikan diri, inilah peluangnya bukan saja untuk ganti Hamzah, malah untuk tunjuk dia lebih menyerlah daripada Muhyiddin Yassin sebagai bekas Pengerusi Perikatan Nasional.
Tapi bila kita tengok rekod, ramai yang masih tertanya-tanya.
Waktu dilantik sebagai Bendahari PN dulu pun, isu komitmen dah timbul. Kehadiran mesyuarat yang tak konsisten, kemudian umum letak jawatan hanya melalui media sosial. Itu bukan gambaran disiplin organisasi yang kukuh. Politik nasional perlukan ketahanan dan komitmen jangka panjang, bukan separuh jalan.
Di Terengganu pula, walaupun sudah masuk penggal kedua sebagai Menteri Besar, prestasi ekonomi negeri masih sering dipersoalkan. Isu royalti minyak kerap dijadikan alasan. Tapi rakyat juga nak tahu, apa pelan alternatif? Apa inisiatif luar biasa yang benar-benar melonjakkan ekonomi negeri? Masa PAS ada dalam kerajaan Persekutuan dulu, kenapa isu ini tak diselesaikan secara tuntas di Parlimen?
Lebih mengelirukan, soal ketelusan jumlah sebenar berbilion ringgit yang diterima negeri jarang diperincikan secara terbuka. Dalam masa sama, timbul pula cerita rayuan kepada Kerajaan Persekutuan berkaitan bantuan kewangan tertentu. Kalau benar, ia beri gambaran pengurusan fiskal negeri masih belum benar-benar stabil.
Dalam sidang DUN pula, keutamaan seperti pinjaman untuk pembelian kenderaan mewah wakil rakyat pernah diluluskan. Rakyat biasa tengok dan tertanya dalam keadaan kos sara hidup makin menekan, itu ke yang lebih mustahak?
Kalau Samsuri benar-benar nak bawa diri ke pentas nasional sebagai Ketua Pembangkang, rakyat Malaysia berhak dengar tawaran yang jelas. Apa pelan ekonomi? Macam mana nak tangani kos sara hidup? Apa reformasi institusi yang nak diperjuangkan? Atau masih dengan slogan besar tanpa pelan tindakan yang realistik dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia?
Isu yang paling menyentuh hati bila ada kenyataan yang seolah-olah mempersoalkan berapa lama bantuan RM400 boleh bertahan. Bagi orang susah, RM400 itu bukan angka kecil. Itu belanja dapur, susu anak, tambang kerja. Bila pemimpin dilihat memperlekeh bantuan kecil sebegitu, luka di hati rakyat bukan mudah nak sembuh.
Akhirnya, persoalan paling penting, kalau benar nak jadi Ketua Pembangkang, adakah bantuan seperti SARA dan seumpamanya akan diteruskan, diperbaiki, atau dihentikan?
Rakyat tak perlukan retorik. Rakyat perlukan kejelasan. Dan kalau mahu jadi suara utama pembangkang negara, jawapannya mesti lebih daripada sekadar slogan.

Comments
Post a Comment