Konflik terbuka antara Hamzah Zainudin dan Muhyiddin Yassin bukan sekadar pertelingkahan peribadi atau perebutan jawatan. Ia adalah pertembungan strategik yang menentukan siapa mengawal hala tuju sebenar blok pembangkang.
Hamzah secara terang-terangan mengisytiharkan bahawa ‘Muhyiddin adalah musuh nombor 1 beliau’.
Dalam ‘pertempuran’ ini, tekanan terbesar jatuh ke atas PAS yang kini terperangkap antara dua pilihan berisiko tinggi.
Krisis ini memperlihatkan PAS berada dalam posisi defensif. Sebarang tanda teragak-agak akan ditafsir sebagai kelemahan kepimpinan, sekali gus menghakis keyakinan penyokong bahawa PAS mampu menjadi penentu arah politik pembangkang. Tekanan ini memaksa PAS membuat keputusan yang dalam apa jua keadaan membawa impak dan kos politik yang besar.
Jika PAS memilih menyokong Hamzah, langkah itu akan dilihat sebagai serangan langsung terhadap kepimpinan Bersatu dan cabaran terbuka kepada Muhyiddin. Risiko perpecahan menjadi nyata dan implikasinya jelas, Bersatu berpotensi menarik diri daripada Perikatan Nasional. Sebaliknya, jika PAS enggan menyokong Hamzah, ia akan dicap lemah, tunduk dan gagal mempertahankan autonomi politiknya sendiri.
Dalam kedua-dua senario, persepsi yang terbina tetap sama iaitu PAS dilihat berada dalam bayang-bayang Bersatu dan bukan pemain utama yang menentukan arah gabungan.
Siapa yang mempunyai kelebihan di sini?
Menurut pemerhati politik tempatan, Bersatu boleh tampil sebagai pihak yang “mengawal keadaan”, memposisikan diri sebagai teras pembangkang, sambil memastikan dominasi kepimpinan kekal di tangan mereka kerana Hamzah hanya dilihat mengawal ahli parlimen yang dipecat sahaja dan belum tentu kelompok yang dipecat ini berupaya mengawal akar umbi masing-masing.
Keadaan ini membolehkan Bersatu terus menunggang jentera dan sokongan akar umbi PAS tanpa perlu menyerahkan kawalan sebenar. PAS pula berdepan dilema berpanjangan kerana jika bergerak sendiri bermakna membuka pintu perpecahan, kekal bersama Bersatu bermakna terus menjadi penyumbang tenaga kerja politik tanpa memegang tampuk kepimpinan PN dan jika bersama Hamzah, PAS akan hilang Bersatu yang masih mampu menjadi pendana politik mereka.
Hamzah pula tiada banyak pilihan, samada kembali semula kepada UMNO tanpa syarat atau menubuh parti baharu dan bergerak bersendirian.

Comments
Post a Comment