EXCO kerajaan Terengganu, Hanafiah Mat mengesahkan bahawa beliau sedang memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung siasatan yang dijalankan ke atasnya.Menerusi satu kenyataan, Hanafiah menjelaskan bahawa beliau bersama pasukan undang-undangnya telah menyerahkan segala dokumen yang diperlukan serta memberikan keterangan kepada pihak penyiasat sejak peringkat awal lagi.
Tegas beliau, siasatan tersebut bukanlah satu isu yang baru muncul, sebaliknya telah pun bermula sejak beberapa tahun yang lalu.
"Sepanjang tempoh tersebut, saya sentiasa bersikap terbuka dan memberikan kerjasama penuh. Saya tidak pernah sesekali mengelak daripada proses undang-undang yang sedang berjalan," katanya.
Menyentuh mengenai suasana politik semasa, Hanafiah sedar akan kewujudan pelbagai persepsi dan spekulasi yang timbul susulan isu berkenaan.
Bagaimanapun, beliau memilih untuk tidak mengulas lanjut perkara yang bersifat spekulatif dan menyerahkan sepenuhnya kepada proses perundangan.
"Saya percaya rakyat mampu menilai secara adil berdasarkan fakta, tanpa dipengaruhi oleh persepsi yang tidak berasas. Fokus saya kekal kepada amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan oleh rakyat."
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai menegaskan tidak akan lari daripada tanggungjawabnya dan akan terus melaksanakan tugas sebagai Exco kerajaan negeri dengan penuh integriti.
Hanafiah turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan sokongan moral dan mendoakan kesejahteraannya sepanjang proses ini berlangsung.
SUMBER: MalaysiaPost

Comments
Post a Comment