Krisis politik Perlis mendedahkan satu perkara yang sukar disorok apabila Ketua Dewan Ulama PAS Perlis, Ahmad Adnan Fadzil tampil dengan nada yang berbeza daripada arus rasmi parti apabila menyifatkan tiga ADUN PAS yang dipecat sebagai anggota yang setia dan bukan pengkhianat.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa manusia tidak berhak menentukan untung nasib orang lain kerana semuanya tertakluk kepada ketetapan Allah. Kenyataan ini secara tidak langsung membongkar isu mengapa ada pihak begitu tergesa-gesa menjatuhkan hukuman politik?
Pergolakan ini berpunca apabila Mohd Shukri Ramli terpaksa melepaskan jawatan Menteri Besar Perlis selepas kehilangan sokongan majoriti Dewan Undangan Negeri. Lapan ADUN menarik sokongan kononnya melalui akuan berkanun termasuk tiga daripada PAS sendiri.
Parti bertindak pantas dengan pemecatan diumumkan, label pengkhianat dicanangkan dan isu dianggap selesai. Namun adakah pemecatan itu menyelesaikan punca sebenar atau sekadar menutup kegagalan pengurusan dan wujudnya skandal dalaman yang cuba disembunyikan dari rakyat Perlis?
Ahmad Adnan menolak naratif pengkhianatan sebaliknya menyatakan krisis ini tercetus akibat kegagalan “pihak tertentu” melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka. Kenyataan ini ibarat melawan arus kebiasaan PAS.
Lebih menarik, pendekatan lunak turut dizahirkan oleh Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin terhadap tiga ADUN yang disingkirkan.
Kehadiran Ahmad Adnan dalam pertemuan antara Hashim Jasin dan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin bersama tiga ADUN yang telah dipecat menambah lagi persoalan dari kepimpinan utama PAS Pusat. Semalam mereka disingkir atas nama disiplin parti, hari ini mereka boleh duduk semeja atas nama Perikatan Nasional?
Dalam satu kenyataan yang seolah-olah menyindir semua pihak, Ahmad Adnan mengingatkan bahawa tiada siapa suci dan kebal daripada kritikan kecuali dalam soal akidah dan agama.
Beliau turut menegaskan politik hanyalah wasilah, bukan matlamat. Namun realitinya, apabila jawatan dan kuasa dijadikan matlamat, politik tidak lagi sekadar kotor malah ia menjadi alat untuk menyingkir dan membungkam.
Krisis Perlis ini adakah membuktikan pengkhianatan sebenar datang daripada mereka yang menarik sokongan atau daripada mereka yang gagal memelihara amanah sehingga kepercayaan telah hilang?

Comments
Post a Comment