Permintaan luar biasa terhadap kemasukan murid ke Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di kawasan padat seperti Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Johor bukan berlaku secara kebetulan. Ia adalah reaksi jelas kepercayaan rakyat terhadap kualiti pendidikan awal yang ditawarkan kerajaan malah kini setaraf, jika tidak mengatasi institusi swasta.
Peningkatan kualiti pengajaran, modul pembelajaran berstruktur dan penekanan terhadap pembangunan sahsiah kanak-kanak telah menjadikan Tabika KEMAS sebagai pilihan utama ibu bapa. Fenomena ini menyebabkan sebahagian permohonan terpaksa ditolak demi memastikan nisbah guru dan murid kekal optimum serta kualiti pendidikan tidak dikompromi.
Apa yang lebih signifikan, Tabika KEMAS tidak sekadar menambah bilangan tetapi meningkatkan mutu. Di bawah kepimpinan Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man, pelbagai inisiatif baharu diperkenalkan termasuk Taska Huffaz, pengukuhan pendidikan Islam, pembelajaran awal al-Quran serta pendekatan pedagogi yang lebih moden dan inklusif.
Dalam keadaan kos sara hidup semakin menekan, KEMAS tampil dengan pendekatan yang membela rakyat. Yuran yang rendah, silibus berkualiti dan tenaga pengajar terlatih membuktikan pendidikan berkualiti tidak semestinya mahal. Inilah model pendidikan rakyat yang sebenar bukan retorik, tetapi solusi.
Ironinya, ketika ada pihak sibuk bercakap soal pendidikan tanpa hala tuju jelas, KEMAS bergerak senyap-senyap membina sistem yang diyakini rakyat. Tabika KEMAS hari ini bukan lagi pilihan kedua tetapi pilihan utama sehingga menjadi rebutan di kawasan bandar paling mahal di negara ini.
Permintaan tinggi ini seharusnya menjadi isyarat jelas kepada pembuat dasar bahawa pelaburan dalam pendidikan awal kanak-kanak bukan perbelanjaan tetapi aset masa depan negara dan apabila pendidikan rakyat diurus dengan serius, rakyat sendiri akan menjadi saksi dan penyokong paling setia.
Tabika KEMAS membuktikan satu perkara apabila kerajaan bekerja, rakyat tidak perlu diyakinkan dengan slogan. Mereka akan datang sendiri.

Comments
Post a Comment