Sudah Sampai Masa BERSATU Keluar Dari Perikatan Nasional


Kenyataan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari yang secara terbuka menegur Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, agar “tidak mencampuri urusan PAS” menunjukkan bahawa PAS tidak lagi menghormati semangat kebersamaan dalam Perikatan Nasional (PN).

Kenyataan tersebut bukan sahaja bersifat bongkak malah memperlihatkan kecenderungan PAS untuk menganggap PN sebagai milik eksklusif parti itu dan bukannya sebuah gabungan politik yang berasaskan rundingan, kesetaraan dan tanggungjawab bersama.

Ianya memberi gambaran seolah-olah kepimpinan negeri yang memerintah di bawah panji PN tidak berhak bersuara selagi pandangan itu tidak selari dengan kehendak PAS.

Hakikatnya, Menteri Besar Perlis yang baharu tidak mencampuri urusan dalaman PAS. Apa yang dibangkitkan beliau adalah soal kestabilan pentadbiran negeri Perlis di bawah nama Kerajaan Perikatan Nasional, bukan “Kerajaan Bersatu Perlis” dan bukan juga “Kerajaan PAS Perlis”. Ini adalah perbezaan yang sangat ketara tetapi sengaja dikelirukan.

Adakah selama ini PAS melabelkan negeri-negeri yang mereka tadbir sebagai “Kerajaan PAS”?
Jika tidak, mengapa prinsip yang sama tidak terpakai apabila BERSATU menerajui kerajaan negeri?

Apabila PAS menegaskan bahawa pemecatan tiga bekas ADUN Perlis adalah urusan disiplin dalaman parti dan tidak boleh dipersoalkan, PAS sebenarnya lupa satu perkara penting iaitu kesan keputusan itu bukan terhenti dalam bilik mesyuarat parti tetapi menular ke pentadbiran negeri dan kestabilan gabungan.

Kenyataan Ahmad Fadhli Shaari juga mencerminkan nada angkuh kuasa seolah-olah PAS berada di atas manakala parti lain hanya penumpang yang tidak berhak menegur atau mencadangkan penyelesaian. Terserlah budaya dominasi PAS.

Jika beginilah sikap sebenar PAS terhadap rakan sekutu dengan menutup ruang dialog, menolak pandangan berbeza dan memarahi sesiapa yang cuba meredakan keadaan demi kestabilan kerajaan maka BERSATU wajar berfikir apa lagi yang tinggal dalam Perikatan Nasional selain nama?

Keluar sajalah.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.