Siapa Di Sebalik Kejayaan Sepak Takraw Malaysia


Bahagian I

Apabila Malaysia akhirnya menamatkan kemarau 34 tahun dengan merangkul emas sepak takraw di Sukan SEA Thailand 2025, reaksi dari orang awam adalah ‘pemain menjadi, rezeki hari pertandingan, nasib menyebelahi'. Namun satu perkara besar yang dilupai iaitu jika sistem sudah rosak, mampukah emas itu hadir begitu sahaja?

Hakikatnya, emas di Thailand 2025 bukan titik mula kebangkitan sebaliknya titik kemuncak kepada pembaikan sistemik yang dirancang dan dilaksanakan bertahun-tahun lebih awal.

Untuk memahami kejayaan ini, kita perlu kembali ke fasa paling gelap dalam sejarah sepak takraw Malaysia, satu tempoh di mana isu sebenar bukan prestasi di gelanggang, tetapi krisis pentadbiran yang hampir mematikan persatuan.


Ketika itu, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) berdepan perpecahan dalaman yang serius. Ahli gabungan berpecah, pentadbiran kucar-kacir, keyakinan atlet merudum, hubungan dengan badan antarabangsa menjadi tegang dan lebih membimbangkan adalah pejabat Pendaftar Pertubuhan sendiri mempertimbangkan penamatan PSM. Dalam landskap dunia sepak takraw, nama Malaysia semakin tenggelam, terpinggir dan hilang pengaruh sebagai kuasa tradisi.

Jika keadaan ini berterusan, bukan sahaja emas Thailand 2025 mustahil dicapai tetapi Malaysia mungkin hilang terus maruah dan tempat dalam ekosistem sepak takraw dunia.

Di sinilah peranan arkitek sebenar kebangkitan bermula.

Apabila Datuk Mohd Sumali Reduan mengambil alih kepimpinan PSM, langkah pertamanya bukan mengejar pingat tetapi melakukan perkara paling sukar dan paling tidak popular dalam politik sukan iaitu membetulkan organisasi terlebih dahulu.

Ahli gabungan yang keluar dipanggil balik. Ahli bersekutu yang kecewa disatukan semula. Struktur pentadbiran diperkemaskan. Hala tuju jangka panjang diperjelaskan. Ini bukan kerja kosmetik, bukan kerja sehari dua tetapi kerja politik organisasi yang memerlukan kesabaran, ketegasan dan keberanian membuat keputusan tidak popular.

Apabila organisasi kembali stabil, barulah sistem prestasi dibina dengan disiplin. Latihan tidak lagi bersifat ikut rasa atau pengalaman semata-mata tetapi berasaskan sains sukan, data dan analisis lawan. Persediaan pasukan disusun mengikut kalendar antarabangsa bukan lagi persiapan tergesa-gesa saat akhir.

Kemudian hadir satu keputusan paling berani dalam keadaan pemulihan belum sempurna, Malaysia membida sebagai tuan rumah Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Kuala Lumpur. Ini langkah berisiko tinggi. Jika gagal, reputasi negara akan musnah sepenuhnya. Namun yang berlaku adalah sebaliknya.

Piala Dunia Sepak Takraw 2024 diiktiraf oleh International Sepak Takraw Federation (ISTAF) sebagai kejohanan dunia paling berjaya setakat ini. Inilah ‘turning point sebenar’ bukan sekadar kejayaan penganjuran tetapi pemulihan maruah, keyakinan dan kedudukan Malaysia dalam sistem sepak takraw dunia.

Tanpa fasa ini, mental dan emosi pasukan yang turun ke Thailand 2025 tidak akan pernah cukup kuat. Sebab itu pasukan Malaysia ke Sukan SEA 2025 tidak membawa beban kegagalan 34 tahun. Mereka membawa sistem, persediaan dan keyakinan yang dibina lama.

Akhirnya, emas itu hadir bukan kerana nasib tetapi kerana asas sudah dibetulkan.

Maka apabila ditanya, siapa arkitek sebenar di belakang kejayaan sepak takraw Malaysia menamatkan kemarau 34 tahun di Thailand 2025? Jawapannya jelas bahawa ianya bukan seorang pemain, bukan satu perlawanan tetapi kepimpinan yang berani masuk ketika orang lain keluar, membetulkan sistem ketika orang lain menyalahkan atlet dan sabar membina asas ketika orang lain mahukan hasil segera.


Emas Thailand 2025 bukan kemenangan satu perlawanan. Ia bukti bahawa reformasi pentadbiran akhirnya diterjemahkan menjadi kejayaan di gelanggang.

Renungkan, jika sepak takraw mampu bangkit dengan membetulkan sistem, mengapa banyak sukan lain masih takut menyentuh masalah sebenar dan terus mengulangi kesilapan yang sama?
Atau adakah kita sebenarnya lebih selesa memarahi pemain daripada berani membetulkan sistem?

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.