Naratif yang terus dimainkan oleh pembenci Najib bukan sahaja murahan, malah memperlihatkan satu hakikat bahawa ramai yang bercakap tanpa faham asas undang-undang jenayah. Kononnya pendedahan terbaru mengatakan Najib “baru mengaku” menerima RM42 juta daripada SRC. Ini fitnah paling tidak masuk akal
Sebenarnya pengakuan Najib sudah direkodkan di mahkamah sejak awal 2020 berdasarkan maklumat yang Najib terima pada tahun 2016 daripada Pengarah Ihsan Perdana. Bukan semalam dan bukannya minggu lepas.
Lebih penting, transaksi RM42 juta itu berlaku pada 2014–2015, iaitu sebelum Najib mengetahui sumber sebenar dana tersebut. Ketika wang itu digunakan untuk kerja-kerja sosial dan politik, tiada satu pun bukti yang berjaya dikemukakan bahawa Najib tahu ia datang daripada SRC. Ini fakta sebenarnya.
Dalam kes AMLA, undang-undang tidak menghukum berdasarkan benci atau persepsi awam. Ia menghukum berdasarkan niat jenayah (mens rea).
Prinsip asas undang-undang jenayah jelas, actus non facit reum nisi mens sit rea iaitu perbuatan tidak menjadikan seseorang bersalah tanpa niat jahat. Ini silibus tahun pertama undang-undang. Bukan isu debat politik kononnya ‘aku palatao undang-undang’.
Jika benar Najib tahu duit itu daripada SRC dan masih membelanjakannya, barulah boleh dibina hujah niat jahat tetapi perkara itu tidak pernah dibuktikan. Maka apabila hujah itu gagal, pendakwaan bergantung kepada satu-satunya tali hayat terakhir, wilful blindness kononnya Najib sengaja menutup mata walaupun ada peluang untuk menyiasat.
Masalahnya, hujah ini gagal apabila saksi sendiri menafikan asasnya. Dato’ Rosman, Pengarah Putra Perdana, mengakui sebahagian besar RM42 juta dimasukkan atas arahan Jho Low tanpa due diligence. Soalnya mengapa individu ini tidak dikenakan AMLA atas alasan wilful blindness yang sama? Atau undang-undang ini hanya kepada seorang bernama Najib sahaja?
Adakah Najib sahaja wajib menyemak setiap sen masuk akaunnya sampai ke lubang cacing, sedangkan pihak lain boleh lepas tangan? Di mana kesaksamaan?
Ya, Najib mungkin cuai. Itu pun ramai akui namun cuai bukan jenayah. Cuai adalah isu sivil (tort) bukan jenayah. Undang-undang jenayah menuntut niat jahat bukan kecuaian semata-mata. Sebab itulah penerima dana 1MDB lain tidak dipenjara, sebaliknya dikenakan kompaun dan diarahkan memulangkan wang walaupun kebanyakan mereka telah membelanjakan wang tersebut untuk kerja sosial dan terpaksa membayar balik menggunakan duit sendiri.
Persoalannya, mengapa kaedah yang sama tidak diterapkan kepada Najib? Mengapa standard berbeza digunakan?
Lebih ironik, Najib pernah menerima USD100 juta daripada Kementerian Kewangan Saudi dan Putera Turki dan transaksi ini tidak pernah didakwa di mahkamah tetapi bagi sesetengah pihak, semua duit yang masuk akaun Najib mesti automatik jadi jenayah AMLA. Ini bukan analisis undang-undang ini kebencian politik yang terus menerus dibina dengan sengaja.
Fakta kes juga menunjukkan bahawa walaupun Najib adalah Perdana Menteri, beliau tetap bergantung kepada ‘gatekeepers sistem kewangan’ iaitu Bank Negara Malaysia, AmBank, JP Morgan, Deutsche Bank dan Riyad Bank milik kerajaan Saudi. Tiada satu pun transaksi ini pernah diklasifikasikan sebagai mencurigakan. Jadi apa lagi yang Najib sepatutnya buat? Pergi serbu bilik kebal setiap bank dan audit sendiri?
Akhirnya, di mana Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, prinsip bahawa semua orang adalah sama di sisi undang-undang?
Jika undang-undang dipakai secara terpilih maka ini bukan lagi soal keadilan. Ini soal kuasa, dendam dan politik. Dan di sinilah masalah sebenar kes ini bermula.

Comments
Post a Comment