Pengerusi PN: Ulama Jadi Pilihan Terakhir?


Dalam politik, ada jawatan yang ditentukan melalui perlembagaan. Ada yang ditentukan melalui mesyuarat dan ada juga yang ditentukan melalui ketakutan yakni takut kepada siapa yang terlalu prinsip, terlalu bebas atau terlalu sukar dikawal.

Jawatan Pengerusi Perikatan Nasional nampaknya semakin menghampiri kategori ketiga.

Isu ini bukan lagi soal siapa paling layak tetapi siapa paling selamat dan dalam logik politik sebegini, calon daripada kalangan ulama sering dianggap “berisiko” bukan kerana mereka lemah, tetapi kerana mereka tidak mudah ditipu.

Menurut sumber dalaman sebahagian pimpinan PAS sendiri dilihat lebih selesa memberi laluan kepada Hamzah Zainudin berbanding membuka ruang kepada calon ulama PAS. Bukan kerana Hamzah tidak layak tetapi kerana calon ulama dilihat terlalu “keras prinsipnya” untuk permainan politik gabungan.

Pelik bukan apabila parti yang dibina atas slogan kepimpinan ulama kini dilihat paling berhati-hati apabila ulama hampir ke kerusi tertinggi.

Lebih menarik, nama-nama besar PAS disebut-sebut sebagai pemain utama yang mahu “menenangkan keadaan” dengan memilih calon daripada BERSATU. Alasannya mudah, kestabilan. Namun dalam politik, kestabilan sering menjadi alasan untuk menghalalkan pengorbanan prinsip.

Kemudian muncullah tafsiran perlembagaan PN yang kreatif malah cukup fleksibel untuk mengecilkan peranan tokoh tertentu, cukup selektif untuk membuka laluan peralihan kuasa. Perlembagaan, seperti biasa tidak dipinda, cuma “difahami” mengikut keperluan semasa oleh ‘pakar’ menafsirkan perlembagaan ikut selera tekak kumpulan tertentu?

Nasib baik ada suara seperti Sanusi yang mengingatkan bahawa selagi Majlis Tertinggi PN belum bersidang dan membuat keputusan rasmi maka Muhyiddin Yassin masih sah sebagai Pengerusi. Ringkas, jelas dan tidak memerlukan tafsiran yang memeningkan.

Realitinya, masalah PN bukan sekadar siapa pengerusi. Masalahnya ialah siapa sebenarnya mengawal permainan ini.

Dalam masa yang sama, PAS sendiri bergelut dengan krisis dalaman ekoran pemecatan ADUN yang dipertikaikan kesahihannya, ‘endorsmen’ Majlis Syura yang bercanggah dengan keputusan negeri dan pertembungan terbuka antara kepimpinan lama dan baharu.

Khabarnya kerana keadaan menjadi terlalu panas maka arahan “kunci mulut” pun dikeluarkan.

Namun apabila Ketua Pemuda Dewan Ulama PAS Perlis sendiri menyatakan Muhyiddin bukan pengkhianat, naratif yang cuba dibina mula bercelaru dan retak sesama sendiri.

Inikah gabungan yang kononnya nak memerintah negara?

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.