Menteri Madani Ugut ‘Bercerai’


Jika benar ada hasrat untuk “bercerai”, maka langkah paling beretika dan berprinsip ialah meletakkan jawatan di peringkat Persekutuan terlebih dahulu. Selepas itu barulah berkempen secara terbuka dan jujur di hadapan rakyat.

Sejarah membuktikan, jika berjaya boleh jadi Presiden seperti apa yang berlaku di Timor Leste tetapi mengugut dari dalam kabinet Persekutuan sambil menikmati kuasa dan jawatan itu bukan keberanian itu hipokrasi politik.

Sejarah negara ini tidak boleh dipadam sesuka hati. Pada satu ketika dahulu, hasil bumi disapu penjajah tanpa pulangan munasabah. Namun selepas merdeka dalam keadaan negeri-negeri tertentu masih daif, ketinggalan dan berdepan kadar buta huruf yang tinggi, federalisme-lah yang menjadi saluran bantuan. 

Pembangunan asas, keselamatan, pendidikan dan infrastruktur dibiayai oleh dana Persekutuan dari wang cukai dan pinjaman yang dikongsi oleh seluruh rakyat Malaysia.

Sebahagian besar sumbangan itu datang daripada rakyat Semenanjung. Ironinya, hari ini ada ahli politik Borneo yang cuba memutar naratif, melabelkan Semenanjung sebagai “penzalim” dan “penjarah” seolah-olah segala pembangunan berlaku tanpa solidariti nasional. Ini bukan sahaja tidak adil, malah bersifat memecah-belahkan.

Isunya bukan soal tidak boleh menuntut hak. Menuntut adalah wajar. Meminta adalah sah tetapi mengugut dengan nada emosi, seolah-olah menjadi mangsa kezaliman sistemik adalah keterlaluan dan tidak bertanggungjawab. Mengapa perlu mengugut kerajaan Persekutuan? Adakah ini budaya politik baharu yang kononnya adil, telus dan matang?

Jika benar mendakwa Persekutuan gagal menunaikan perjanjian atau persetujuan, bawalah ke mahkamah. Jika tidak yakin dengan mahkamah tempatan, pintu mahkamah antarabangsa juga terbuka. Dunia luar sentiasa ada penaja dan pelobi yang sedia membantu. Jalan undang-undang wujud maka gunakanlah, bukan ugutan.

Apa yang paling memalukan ialah apabila Perdana Menteri membiarkan seorang menteri kabinet mengugut untuk membawa keluar sebahagian wilayah Malaysia tanpa sebarang tindakan tegas. Ini bukan isu kecil. Ini soal kedaulatan negara, disiplin kabinet dan prinsip asas sebuah Persekutuan.

Jika ugutan seperti ini dibiarkan, maka jangan hairan jika politik negara akhirnya berubah menjadi politik pemerasan, siapa paling kuat mengugut, dialah paling didengar dan itu bukan Malaysia yang berdaulat, stabil dan bermaruah.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.