Ketika kos sara hidup terus meningkat dan tekanan kewangan semakin dirasai golongan mahasiswa, Kerajaan Negeri Pahang memilih untuk bertindak, bukan sekadar mendengar keluhan. Kerajaan negeri bercadang meningkatkan jumlah bantuan Inisiatif Makmur Pahang Kluster Siswa kepada pelajar anak negeri yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi, bermula tahun hadapan.
Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan bahawa kerajaan negeri memahami rintihan pelajar yang berdepan kenaikan harga barangan keperluan dan kos kehidupan harian. Justeru, penambahan bantuan secara sekali bayar (one-off) akan dilaksanakan tertakluk kepada keupayaan kewangan semasa negeri, yang kini menunjukkan trend pengurusan kewangan semakin baik dan stabil.
Menurut beliau, keutamaan kerajaan negeri ialah mengembalikan hasil pengurusan kewangan yang berhemah kepada rakyat, khususnya golongan pelajar yang sedang membina masa depan negeri. Kenyataan itu dibuat sempena Majlis Pelancaran Inisiatif Makmur Pahang Kluster Siswa 2026 di Dewan Sri Perdana, Kolej Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai.
Untuk tahun ini sahaja, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM9 juta bagi Inisiatif Makmur Pahang Kluster Siswa, meningkat RM1 juta berbanding tahun sebelumnya. Seramai kira-kira 20,000 mahasiswa anak Pahang di institusi pengajian tinggi terpilih seluruh negara layak menerima bantuan one-off sebanyak RM400 seorang.
Bantuan ini bukan bersifat bermusim atau populis, sebaliknya ditambah baik secara konsisten sejak 2022. Bermula dengan RM200, dinaikkan kepada RM300 pada 2023 dan seterusnya RM400 sejak 2025 bantuan ini dikekalkan bagi tahun 2026 sebagai bukti komitmen berterusan kerajaan negeri terhadap kebajikan mahasiswa.
Selain itu, kerajaan negeri melalui Yayasan Pahang turut menyediakan pelbagai sokongan pendidikan lain termasuk Bantuan Pelajaran one-off sebanyak RM700 kepada pelajar pra siswazah dan RM1,200 kepada pasca siswazah, kemudahan pinjaman pendidikan serta biasiswa menerusi Skim Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar (BKMB) dan Skim Pelajar Cemerlang (SPC).
Tegas Wan Rosdy, pendidikan adalah pelaburan strategik negeri dan tiada anak Pahang seharusnya tercicir daripada arus pendidikan hanya kerana kekangan kewangan. Pendekatan ini membuktikan bahawa pembangunan modal insan bukan sekadar slogan tetapi diterjemahkan melalui dasar, peruntukan dan tindakan yang konsisten.
Dalam suasana banyak pihak hanya bijak berjanji, Pahang memilih untuk membela. Pelajar dibantu, masa depan dijaga dan pendidikan terus dimartabatkan.
#Pahang1st #InisiatifMakmur

Comments
Post a Comment