Dalam polemik berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya isu pertindihan kuasa antara PETROS dan PETRONAS termasuk Sabah, satu kekeliruan besar sedang dibina terutama di ruang media sosial. Ramai tiba-tiba menjadi pakar perundangan.
Menurut sumber, kelompok ini menyerang salah orang. Sasaran kritikan tersasar dan akhirnya pembawa mesej yang ditembak, sedangkan punca kuasa berada di tempat lain. PETRONAS tidak berada di bawah mana-mana kementerian, sebaliknya berada terus di bawah Perdana Menteri. Struktur ini bukan rahsia dan telah lama menjadi kerangka tadbir urus industri minyak dan gas negara. Maka, apabila seorang menteri menjawab soalan berkaitan PETRONAS bagi pihak kerajaan, ia tidak secara automatik menjadikan isu itu tanggungjawab kementeriannya.
Isu ini timbul susulan jawapan bertulis di Parlimen oleh Datuk Seri Azalina Othman Said bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju. Soalan tersebut meminta penjelasan mengenai pendirian Kerajaan Persekutuan terhadap tuntutan laut wilayah Sarawak serta bagaimana rundingan MA63 menangani pertindihan kuasa antara PETROS dan PETRONAS.
Penting untuk difahami, jawapan tersebut adalah jawapan bertulis bagi pihak kerajaan selaras dengan amalan Parlimen. Ia bukan jawapan dasar peribadi kementerian dan bukan juga petunjuk bahawa PETRONAS berada di bawah bidang kuasa Datuk Seri Azalina. Malah berbeza dengan kebiasaan apabila Datuk Seri Azalina tidak menjawab secara bersemuka, ia menunjukkan bahawa isu tersebut tidak berada dalam lingkungan tanggungjawab langsung kementeriannya, sebaliknya melibatkan struktur kuasa lebih tinggi. Anda perhatikan apabila isu berkaitan dengan kementeriannya maka Datuk Seri Azalina akan berdiri dan menjawab secara bersemuka.
Menjadikan beliau sasaran serangan politik atau emosi bukan sahaja tidak adil malah tindakan tersebut akan mengaburkan lagi isu sebenar. Dalam isu sebesar MA63, kegagalan mengenal pasti ‘locus kuasa’ atau kuasa sebenar hanya akan melemahkan perbincangan dan merugikan kepentingan negeri-negeri terlibat.
Perlu diingat, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah mengambil pendirian yang jelas dan konsisten. Beliau menegaskan bahawa isu berkaitan sumber minyak dan gas di bawah MA63 tidak akan diulas secara politik, sebaliknya diserahkan sepenuhnya kepada proses kehakiman. Ini menunjukkan kesedaran bahawa isu tersebut bersifat perlembagaan dan undang-undang, bukan retorik politik jangka pendek.
Jadi, isu sebenarnya bukanlah siapa yang membaca jawapan di Parlimen tetapi siapa yang mempunyai kuasa membuat keputusan dan di mana ruang lingkup yang sah untuk menyelesaikan pertikaian ini.
Menyerang individu yang sekadar menyampaikan pendirian kerajaan bukan tanda keberanian dan kebijakan politik sebaliknya mencerminkan keengganan berdepan dengan struktur kuasa sebenar.
Dalam isu MA63 jika mahu menuntut hak, tembak sasaran yang sebenar dan bukan pembawa mesej. Jika tidak kita hanya akan terus bertekak dalam hiruk politik tanpa penyelesaian sementara isu pokok kekal tidak disentuh.

Comments
Post a Comment