Kenyataan bahawa “MA63 tanpa minyak dan gas adalah pengkhianatan sejarah” kedengaran lantang dan berbaur politik. Namun ia tidak selari dengan fakta perundangan dan dokumen asal pembentukan Malaysia. Naratif yang cuba dibina tersebut adalah tafsiran politik dan bukannya kedudukan undang-undang MA63 yang sebenar.
Secara tekstual dan dokumentari, MA63 tidak pernah mengandungi peruntukan khusus yang memberikan Sarawak atau Sabah hak eksklusif ke atas sumber petroleum dan gas.
Penelitian terhadap dokumen utama dan sokongan seperti Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) serta pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1963 menunjukkan bahawa fokus perjanjian tersebut tertumpu kepada isu-isu asas pembentukan Persekutuan, termasuk agama, bahasa, imigresen, pendidikan, perkhidmatan awam dan kedudukan bumiputera.
Minyak dan gas tidak pernah disenaraikan sebagai bidang kuasa negeri dalam mana-mana peruntukan MA63. Oleh itu, dakwaan bahawa makna MA63 “dikosongkan” kerana tidak menyentuh petroleum adalah tidak berasas dari sudut teks perjanjian.
Pembahagian kuasa berkaitan petroleum dan gas pula ditentukan melalui Perlembagaan Persekutuan selepas pembentukan Malaysia. Jadual Kesembilan Perlembagaan dengan jelas meletakkan perlombongan, petroleum dan gas asli di bawah Senarai Persekutuan. Susunan ini bukanlah keputusan unilateral yang muncul kemudian sebaliknya sebahagian daripada kerangka perlembagaan yang dipersetujui apabila Sarawak menyertai Malaysia. Justeru, sandaran kepada Perlembagaan Persekutuan adalah asas sah bagi pengawalseliaan industri petroleum.
Dalam konteks perundangan moden, Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA) merupakan undang-undang Persekutuan yang sah. Ia digubal oleh Parlimen Malaysia malah terpakai ke seluruh negara dan sehingga kini tidak pernah diputuskan bercanggah dengan Perlembagaan oleh mana-mana mahkamah. Hujah bahawa PDA tidak sah kerana tidak mendapat persetujuan Sarawak tidak menjejaskan kedudukannya dalam sistem persekutuan. Dalam kerangka perlembagaan Malaysia, undang-undang Parlimen tidak memerlukan kelulusan Dewan Undangan Negeri selagi ia digubal dalam bidang kuasa Persekutuan.
Oil Mining Ordinance 1958 (OMO 1958) pula, walaupun merupakan undang-undang yang wujud sebelum pembentukan Malaysia ianya tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan selepas tahun 1963. Di bawah Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan mana-mana undang-undang pra-Malaysia yang bercanggah dengan Perlembagaan adalah terbatal setakat percanggahan tersebut. Oleh itu, OMO 1958 tidak boleh digunakan untuk mengatasi kuasa Persekutuan atau menafikan keberkesanan PDA 1974.
Tidak dinafikan, Sarawak adalah rakan pengasas Malaysia. Namun status tersebut tidak menjadikan Sarawak sebuah entiti berdaulat yang berdiri di luar kerangka Persekutuan. Kedaulatan terletak pada Persekutuan Malaysia, manakala kuasa negeri adalah kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan bukannya kuasa mutlak.
Prinsip bahawa “undang-undang mesti tunduk kepada perjanjian” hanya terpakai jika perjanjian itu sendiri secara jelas memperuntukkan hak berkenaan. Dalam isu petroleum, MA63 tidak pernah memberikan peruntukan sedemikian.
Justeru, tuntutan Sarawak untuk peranan yang lebih besar dalam pengurusan sumber asli boleh dan wajar dibincangkan melalui saluran perundingan politik, pembahagian hasil yang lebih adil dan pendekatan federalisme fiskal yang progresif. Namun, mengaitkan tuntutan tersebut secara langsung dengan MA63 adalah tidak tepat dari sudut fakta perlembagaan.
MA63 bukan dokumen yang boleh ditafsir mengikut keperluan semasa sebaliknya sebuah perjanjian bertulis yang mesti difahami berdasarkan teks, struktur perlembagaan dan prinsip undang-undang.
Keadilan dalam Persekutuan tidak lahir daripada tafsiran selektif sejarah tetapi daripada pematuhan kepada fakta, undang-undang dan rundingan yang jujur serta berintegriti.
'Serangan' influencer facebook dan sesetengah ahli politik dengan emosi dan tidak berpijak di bumi nyata tidak mengubah apa-apa malahan mengelirukan dari fakta yang sebenar. Cubaan menggambarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), YB Dato' Sri Azalina sebagai 'wakil Petronas' adalah keanak-anakan.

Comments
Post a Comment