Ketika Negeri Lain Mencari Solusi Untuk Naikkan Taraf Hidup Rakyat, Negeri SG-4 Masih Gila Berpolitik


Ketika kerajaan negeri di Malaysia berlumba-lumba mencari solusi praktikal untuk menekan kos sara hidup, menarik pelaburan dan memperkukuh ekonomi rakyat, gabungan negeri yang melabel diri mereka sebagai SG-4 terus tenggelam dalam pergolakan politik yang tidak berkesudahan sehinggakan rakyat tertanya siapa sebenarnya yang diutamakan rakyat atau kuasa?

Di beberapa negeri lain, tumpuan pentadbiran jelas menjurus kepada dasar yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat. Isu perumahan mampu milik, peluang pekerjaan, pelaburan strategik, pendidikan teknikal dan kebajikan sosial menjadi agenda utama. Walaupun berdepan perbezaan ideologi dan tekanan politik, kerajaan negeri-negeri ini sekurang-kurangnya berusaha mengekalkan kestabilan pentadbiran demi kesinambungan dasar.

Sebaliknya, di negeri-negeri SG-4, naratif yang mendominasi ruang maya dan wacana rakyat di segenap penjuru bukanlah tentang pelan ekonomi baharu atau strategi mengurangkan beban rakyat tetapi soal siapa menyokong siapa, siapa dikhianati, siapa perlu disingkirkan dan siapa bakal mengambil alih kuasa. Politik dalaman menjadi tajuk utama, manakala agenda rakyat sekadar sisipan yang muncul apabila hampir dengan pilihanraya.

Krisis pertukaran sokongan, pemecatan ADUN, pertikaian dalaman parti dan rundingan tertutup menjadi episod berulang. Tenaga pentadbiran dihabiskan untuk mengurus konflik bukan merangka jalan penyelesaian. Lebih membimbangkan, politik diangkat sebagai matlamat mutlak bukan lagi alat untuk berkhidmat kepada rakyat.

Dari sudut tadbir urus, ketidakstabilan politik membawa kesan nyata. Pelabur cenderung menjauh apabila kerajaan negeri dilihat rapuh dan tidak fokus. Penjawat awam bekerja dalam suasana tidak menentu. Rakyat pula terperangkap dalam polemik politik yang tiada penghujungnya malah tidak memberi sebarang manfaat kepada kehidupan seharian mereka. Soal gaji, peluang pekerjaan, harga barang dan masa depan anak-anak terus terpinggir.

Semua ini berlaku ketika negeri-negeri berkenaan sering melaungkan slogan pemerintahan berteraskan nilai Islam, integriti dan keadilan. Namun realiti di lapangan menunjukkan jurang besar antara retorik dan pelaksanaan. Nilai yang dilaungkan gagal diterjemah apabila kuasa terancam dan prinsip menjadi fleksibel mengikut keperluan politik semasa. Lihat sahaja apa yang berlau di Perlis.

Analisis ini bukan soal parti atau individu semata-mata tetapi soal keutamaan pentadbiran. Rakyat tidak menuntut keajaiban sebaliknya kestabilan dan kesungguhan. Mereka mahu melihat kerajaan negeri bekerja bukan berpolitik sepanjang masa. Setiap hari yang dihabiskan untuk konflik dalaman adalah hari yang hilang untuk membina masa depan negeri.

Jika SG-4 terus memilih untuk berpolitik tanpa henti maka jurang pembangunan dengan negeri lain akan semakin melebar. Rakyat wajar membuat penilaian pada PRU-16 dan bukan berdasarkan ceramah atau slogan tetapi berdasarkan siapa yang benar-benar bekerja untuk mereka dan siapa yang hanya sibuk mempertahankan kuasa?

Lihat sahaja contoh negeri Pahang:

Di Pahang, Islam tidak dijadikan alat propaganda murahan sebaliknya diurus sebagai dasar pentadbiran. Nilai Islam diterjemahkan melalui tindakan dan hasil bukannya sekadar retorik.

Bantuan pendidikan, kebajikan dan hal ehwal agama sampai kepada rakyat secara berstruktur. Pengurusan air, infrastruktur dan pelaburan bergerak seiring dengan prinsip keadilan dan kesejahteraan. Sekolah agama, tahfiz dan institusi Islam dibantu secara sistematik bukan bermusim atau bersifat populis.

Di Pahang, Islam tidak perlu dilaungkan setiap hari untuk membuktikan kewujudannya. Islam hidup dalam pentadbiran dan diterjemahkan melalui kecekapan, keadilan dan hasil yang dirasai rakyat.

Belum lagi bercerita tentang pencapaian Pahang selama 4 tahun berturut-turut mengekalkan rekod prestasi kewangan yang cemerlang dengan kutipan hasil melebihi RM1 bilion. Pencapaian bermula sejak 2022.

Terkini, Kerajaan Negeri Pahang memperkenalkan Sistem e-Rakyat yang merupakan satu pusat sehenti bagi mengurus maklumat dan bantuan kepada rakyat secara lebih tersusun dan bersepadu.

Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, sistem ini dapat membina, mengumpul, dan menyelaraskan data bantuan antara jabatan dan agensi di negeri ini.

“Selari dengan hala tuju pentadbiran negeri yang menekankan kecekapan, ketelusan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan, Kerajaan Negeri Pahang memperkenalkan Sistem e-Rakyat sebagai satu pusat sehenti atau one stop center bagi mengurus maklumat dan bantuan rakyat secara lebih tersusun dan bersepadu.

“Sistem ini membolehkan Kerajaan Negeri membina, mengumpul dan menyelaraskan data bantuan antara jabatan dan agensi, serta mengelakkan pertindihan penerima dan pembaziran peruntukan.

“Matlamatnya jelas, bantuan mesti sampai kepada mereka yang benar-benar layak, tepat pada masanya dan berasaskan keperluan sebenar rakyat,” katanya.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.