Pendidikan awal kanak-kanak adalah tapak asas pembinaan modal insan sesebuah negeri. Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri Pahang mengambil langkah strategik dan berfokus apabila memperkukuh pendidikan prasekolah berteraskan Islam melalui pembangunan Tabika Tahfiz Negeri Pahang (TTNP), satu pelaburan jangka panjang demi melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan celik al-Quran.
Dalam Belanjawan 2026, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.76 juta bagi menyokong perkembangan Tabika Tahfiz merangkumi pelaksanaan modul hafazan dan pembelajaran al-Quran sejak peringkat prasekolah. Ini bukan sekadar peruntukan angka tetapi pembuktian bahawa pendidikan Islam bukan agenda pinggiran sebaliknya teras pembangunan insan Pahang.
Hasilnya, program yang bermula dengan satu cawangan kini berkembang pesat kepada lebih 37 cawangan di seluruh negeri. Lebih membanggakan, modul pendidikan yang dibangunkan di Pahang ini telah diadaptasi dan digunakan di ribuan Tabika KEMAS di seluruh negara membuktikan kualiti dan keberkesanan pendekatan yang digagaskan.
Peruntukan ini bukan hanya menampung kos operasi tadika. Ia turut meringankan beban kewangan keluarga B40 bagi memastikan pendidikan awal berteraskan Islam dapat diakses secara inklusif dan adil. Di bawah kepimpinan Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, bantuan yuran RM250 sebulan disediakan khusus untuk golongan berpendapatan rendah, ini satu langkah konkrit yang menyatukan keprihatinan sosial dan visi pendidikan.
Komitmen ini mencerminkan kefahaman bahawa pembinaan generasi masa depan tidak boleh ditangguhkan. Apa yang disemai hari ini akan dituai satu dekad akan datang dan dengan asas al-Quran yang kukuh sejak usia awal, Pahang sedang membentuk barisan anak muda yang bukan sahaja cerdas minda, tetapi teguh jati diri dan nilai.
Jika hala tuju ini diteruskan secara konsisten maka tidak mustahil 10 tahun akan datang Pahang akan dipenuhi generasi muda yang celik agama, berdisiplin dan berakhlak tinggi dan inilah pelaburan sebenar untuk kestabilan dan kemajuan negeri.
#Pahang1st
#TokWanRosdy

Comments
Post a Comment