Titah Addendum: Keputusan Mahkamah Tinggi Tidak Selari Dengan Peruntukan - Datuk Hasnal


Keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Najib Razak berhubung titah addendum kini mencetuskan implikasi perlembagaan yang signifikan, khususnya terhadap kedudukan dan kuasa institusi Raja-Raja Melayu, menurut peguam Datuk Hasnal Rezua Merican.

Beliau berkata demikian di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, selepas mahkamah menolak semua hujahan pihak peguam Datuk Seri Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, termasuk permohonan perintah mandamus untuk memaksa badan-badan kerajaan melaksanakan titah addendum berkenaan.


“Secara ringkasnya, semua isu yang dibawa pihak pemohon diputuskan tidak memihak kepada Datuk Seri Najib,” kata Hasnal.

Antara implikasi paling ketara ialah dapatan mahkamah bahawa titah addendum yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Pahang, adalah tidak sah.

“Ini adalah kali pertama, setakat ingatan saya, mahkamah berani memutuskan bahawa suatu titah Yang di-Pertuan Agong adalah tidak sah. Sebelum ini, tidak pernah ada titah Raja dibawa ke mahkamah untuk diputuskan sedemikian,” jelas beliau.

Hasnal turut menekankan kebimbangan terhadap dapatan mahkamah bahawa kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan berhubung pengampunan dan kelegaan hukuman kini tertakluk kepada prosedur tertentu.

“Perlembagaan menetapkan prinsip dan rukun tetapi tidak menetapkan prosedur rigid. Hari ini mahkamah memutuskan sebaliknya yang bagi saya tidak selari dengan peruntukan sedia ada,” katanya.

Beliau menambah bahawa mahkamah memutuskan titah addendum tersebut merupakan bentuk pengampunan dan bukannya kelegaan hukum sekali gus menjadikannya tertakluk sepenuhnya kepada Perkara 42.

Sebelum ini, hujahan pihak pemohon adalah bahawa kelegaan hukum termasuk pelaksanaan baki hukuman di rumah dan tidak tertakluk kepada nasihat Peguam Negara dan Lembaga Pengampunan yang hanya terpakai bagi pengampunan. “Ini isu utama yang berpotensi membawa kesan jangka panjang terhadap tafsiran kuasa Raja-Raja Melayu,” katanya.

Hasnal memaklumkan bahawa Tan Sri Muhammad Shafee akan mengemukakan rayuan segera terhadap keputusan ini yang seterusnya akan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Beliau menegaskan isu ini bukan sekadar membabitkan seorang individu, sebaliknya menyentuh aspek perlembagaan dan kedudukan Raja-Raja Melayu.

“Sudah tiba masanya UMNO mempelopori usaha membawa memorandum atau petisyen kepada Majlis Raja-Raja bagi mengkaji implikasi keputusan ini, khususnya sama ada mahkamah boleh memutuskan kesahihan titah Raja,” katanya.

Hasnal menegaskan bahawa langkah ini penting untuk memastikan kuasa dan institusi Raja-Raja Melayu terus dipelihara selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan. 

“Ini bukan isu Datuk Seri Najib semata-mata tetapi isu institusi Raja-Raja Melayu dan asas perlembagaan negara,” tegasnya.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.