Siasat Bekas Menteri: SPRM Wajar Berlaku Jujur dan Berterus Terang


Kenyataan terbaharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai pembukaan kertas siasatan terhadap seorang bekas menteri kanan kembali mencetuskan tanda tanya dalam landskap politik negara.

Dalam suasana politik yang sedang tegang khususnya selepas isu kenyataan menghina terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung keputusan kes Titah Addendum, langkah SPRM ini dilihat oleh sebahagian penganalisis sebagai sesuatu yang sepatutnya tidak berlaku ketika ini.

Persoalan utama yang timbul ialah soal masa dan naratif. Mengapa kenyataan yang berprofil tinggi ini diumumkan ketika hubungan antara UMNO–BN dan DAP, rakan dalam kerajaan Madani sedang berada pada tahap paling rapuh?

Adakah ini sekadar kebetulan, atau wujud unsur tekanan tersirat agar UMNO-BN tidak “melangkaui batas” dengan mempertimbangkan semula kedudukan mereka dalam kerajaan?

Menurut laporan media arus perdana, individu yang kini berada dalam radar SPRM adalah seorang bekas menteri yang pernah berkhidmat sebelum era COVID-19 dan pernah didakwa di mahkamah atas beberapa pertuduhan rasuah beberapa tahun lalu.

Siasatan terbaharu ini dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan melibatkan pemindahan sebidang tanah kerajaan bernilai tinggi kepada pemaju hartanah, selain projek pembinaan papan iklan pengiklanan yang dilaksanakan oleh kementerian berkenaan. Nilai kes dilaporkan mencecah jutaan ringgit.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, telah mengesahkan pembukaan kertas siasatan dan memaklumkan beberapa individu penting akan dipanggil untuk membantu siasatan. Beliau turut menyatakan bahawa siasatan ini berpunca daripada “maklumat perisikan baharu” yang diterima hampir sedekad selepas dakwaan penyelewengan itu berlaku.

Namun di sinilah timbul persoalan yang lebih besar dan lebih kritikal, mengapa identiti bekas menteri tersebut terus diselubungi misteri? Dalam era ketelusan dan kebertanggungjawaban awam, pendekatan “separuh dedah” seperti ini hanya mengundang spekulasi liar dan membuka ruang kepada tafsiran politik yang berbahaya. Lebih-lebih lagi apabila siasatan tersebut mudah dikaitkan dengan percaturan kuasa semasa.

Jika SPRM benar-benar bebas dan profesional, maka kejujuran menuntut agar maklumat asas termasuk “menteri mana satu” yang sedang disiasat dinyatakan secara jelas. Ketelusan bukan sahaja melindungi integriti SPRM, malah mengelakkan institusi penguat kuasa itu daripada dilihat sebagai alat tekanan politik atau instrumen gertakan terhadap mana-mana parti.

Perlu ditegaskan, UMNO-BN berhak membuat pertimbangan politik mereka sendiri berdasarkan mandat rakyat dan prinsip parti tanpa bayang-bayang intimidasi atau isyarat halus daripada mana-mana institusi.

Siasatan rasuah wajib diteruskan tanpa kompromi tetapi ia juga mesti dilaksanakan secara adil, konsisten dan bebas daripada sebarang persepsi campur tangan politik.

Akhirnya, kepercayaan rakyat terhadap SPRM tidak diukur pada bilangan kertas siasatan yang dibuka tetapi pada keberanian untuk berlaku telus dan saksama, tanpa memilih masa, individu atau kepentingan. Jika benar tiada agenda tersembunyi, maka pendedahan secara jujur adalah jawapan terbaik dan bukan teka-teki yang mengundang syak wasangka.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.