Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Wan Ahmad Wan Omar menegaskan bahawa tiada keperluan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi tiga kerusi DUN Perlis yang kini kosong walaupun kekosongan berlaku secara luar jangka.
Menurut beliau, keadaan ini berlaku selepas tempoh matang tiga tahun penggal Dewan Undangan Negeri (DUN), justeru tidak memerlukan tindakan pengisian segera kecuali sekiranya kedudukan majoriti kerajaan terjejas.
“Dalam situasi yang berlaku di Perlis ini, saya berpandangan bahawa terpecatnya keahlian dalam parti tidak menyebabkan tiga kerusi terbabit secara automatik kosong kerana wakil rakyat berkenaan masih memegang mandat rakyat. Mereka tidak lompat parti, status mereka kini adalah Ahli Dewan Undangan Negeri bebas sehingga tamat penggal DUN sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) yang seterusnya,” jelas Wan Ahmad.
Beliau menambah bahawa kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar baharu yang kini disokong oleh lapan ADUN, lima dari BERSATU dan tiga ‘wakil rakyat bebas’ dijangka mampu mengekalkan kestabilan sehingga PRU16.
“Keputusan akhir mengenai perlaksanaan PRK tetap bergantung kepada SPR setelah mengambil kira peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis,” tambah beliau.
Pandangan Wan Ahmad menekankan bahawa kekosongan kerusi bukanlah isu kritikal dari segi perundangan dan kerajaan negeri mampu terus berfungsi tanpa terganggu. Hal ini turut menafikan spekulasi awal bahawa pengosongan kerusi akan mencetuskan ketidaktentuan politik atau memerlukan campur tangan segera melalui PRK.
Situasi ini memperlihatkan bahawa Perlis kini berada dalam fasa pentadbiran stabil dengan mekanisme undang-undang yang jelas untuk menangani kekosongan luar jangka, sekaligus mengekalkan keseimbangan politik sehingga pilihan raya umum yang akan datang.

Comments
Post a Comment