Keputusan menjatuhkan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli bukan sekadar episod pertukaran kuasa di peringkat negeri. Ia menyingkap realiti yang lebih mendalam dan memalukan buat PAS iaitu kepimpinan Presiden parti, Abdul Hadi Awang kini dipersoal dan diperlekehkan secara terbuka bukan oleh musuh politik tetapi oleh orangnya sendiri.
Lebih signifikan, Shukri bukan sahaja sekutu politik Hadi Awang, malah mempunyai hubungan kekeluargaan sebagai besan. Namun hakikat itu langsung tidak menghalang gerakan dalaman PAS daripada menggulingkannya. Kejatuhan tersebut tidak berlaku secara terhormat melalui konsensus parti, sebaliknya melalui pakatan pembelotan yang melibatkan ADUN PAS sendiri berpaling tadah dan bersekongkol dengan ADUN BERSATU untuk menjatuhkan kerajaan yang mereka bina bersama.
Inilah tamparan berganda terhadap Hadi Awang. Ia bukan serangan dari luar tetapi pengkhianatan dari dalam yang dipermudahkan oleh rakan sekutu Perikatan Nasional. Apabila wakil rakyat yang menang atas tiket PAS sanggup menyerahkan mandat rakyat kepada BERSATU demi percaturan kuasa, mesejnya jelas, disiplin parti dan ketaatan kepada kepimpinan tertinggi PAS semakin rapuh, malah hampir runtuh.
Perkembangan ini mendedahkan krisis yang lebih gelap dan serius. Cabaran sebenar terhadap Hadi Awang tidak datang daripada UMNO, PH atau mana-mana lawan tradisi PAS, sebaliknya berpunca daripada krisis keyakinan dalam parti sendiri.
Apabila orang dalam sanggup menikam dari belakang dan BERSATU pula tampil sebagai penumpang oportunis yang mengambil kesempatan, naratif kestabilan serta kesepaduan PAS musnah dalam sekelip mata.
Lebih memalukan, episod di Perlis ini memperlihatkan bahawa kepimpinan ulama yang sering dilaungkan tidak lagi berupaya mengawal nafsu kuasa di peringkat akar umbi. Idealisme, disiplin dan kepatuhan yang selama ini menjadi jenama politik PAS gagal berfungsi ketika diuji oleh kepentingan dan perebutan kuasa.
PAS kini bukan sahaja berdepan pengkhianatan dalaman malah terpaksa menelan hakikat pahit bahawa rakan sekutu dalam PN khususnya BERSATU sanggup menjadi pemangkin perpecahan, bukannya penjamin kestabilan seperti yang sering dicanangkan.
Apabila sebuah kerajaan tumbang akibat pembelotan dan pakatan senyap yang runtuh bukan sekadar pentadbiran negeri. Yang lebih parah, wibawa dan autoriti Presiden PAS sendiri turut terhakis dan ini merupakan satu isyarat jelas bahawa krisis kepimpinan PAS hari ini bukan persepsi tetapi realiti yang sedang terbentang.
Akhirnya, Perlis menjadi cermin dan bayangan yang terpancar daripadanya bukan kekuatan tetapi kerapuhan.
“Ruh ruh neh neh. PAS merapuh di negeri harum maneh.”

Comments
Post a Comment