1MDB: Hakim Tolak Empat Transaksi Derma Saudi Tiada ‘Red Flag


Empat transaksi kewangan daripada Putera Turki bin Abdullah Al Saud dan Kementerian Kewangan Arab Saudi kepada Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2011 bukan sekadar dakwaan lisan atau dokumen pinggiran. Kesemua transaksi ini telah dikemukakan secara rasmi, diterima sebagai eksibit mahkamah dan yang paling penting tidak pernah dipertikaikan keasliannya oleh mana-mana pihak. Inilah hakikat asas yang sering tenggelam dalam perbahasan awam, walaupun ia merupakan teras kepada hujah pembelaan.

Keempat-empat transaksi tersebut membentuk bukti sokongan (corroborative evidence) yang secara langsung menguatkan kesahihan surat derma Arab Saudi. Jika jumlah transaksi ini dicampurkan, amaunnya adalah selari dan konsisten dengan jumlah yang dinyatakan dalam surat derma Saudi. Ini bukan kebetulan tetapi satu rantaian fakta kewangan yang saling mengesahkan antara satu sama lain.

Lebih penting, transaksi tersebut diproses melalui institusi kewangan antarabangsa dan tempatan yang berautoriti termasuk Wells Fargo di New York dan AmIslamic Bank di Malaysia tanpa sebarang amaran atau ‘red flag’. Tiada isyarat mencurigakan dikeluarkan oleh bank-bank ini dan tiada tindakan susulan oleh Bank Negara Malaysia pada ketika itu. Dalam konteks undang-undang jenayah kewangan, ketiadaan amaran institusi kewangan adalah faktor kritikal dalam menilai keadaan minda (state of mind) seseorang tertuduh.

Di sinilah prinsip Subramaniam v PP (1956) menjadi relevan dan signifikan. Undang-undang menetapkan bahawa tertuduh hanya perlu membuktikan bahawa beliau bertindak berdasarkan kepercayaan dan tanggapan jujur ketika peristiwa itu berlaku. Beban untuk membuktikan bahawa tertuduh tahu dan sedar transaksi serta surat derma tersebut adalah palsu terletak sepenuhnya di bahu pendakwaan. Namun persoalannya, adakah elemen pengetahuan dan kesedaran ini benar-benar dibuktikan secara tuntas?

Hujah bahawa SPRM hanya berjumpa dengan wakil Putera Saudi bukanlah bukti bahawa dokumen derma itu palsu. Sebaliknya, ia mendedahkan kecacatan siasatan, bukannya kecacatan transaksi. Malah, pertemuan tersebut sebenarnya mengukuhkan hujah pembelaan bahawa Najib berada dalam keadaan mempercayai sepenuhnya bahawa wang yang diterima adalah derma Arab Saudi, bukannya dana 1MDB.

Tambahan pula naratif ini disokong oleh beberapa fakta penting yang tidak boleh dipisahkan iaitu pengakuan media oleh Menteri Luar Arab Saudi ketika itu, pengesahan awal oleh SPRM sendiri, ketiadaan sebarang ‘red flag’ daripada Bank Negara serta pendedahan kemudian bahawa suami kepada Gabenor Bank Negara pada tempoh tersebut turut menerima dana 1MDB berjumlah USD15.4 juta satu fakta yang secara langsung menimbulkan persoalan tentang konsistensi pengawasan kewangan negara.


Namun yang paling kontroversi ialah hujah penghakiman yang menyatakan bahawa Najib sebagai individu berpendidikan dan berpengalaman, “tidak sepatutnya ditipu”, dengan kata lain hujah hakim Collin bahawa Najib orang bijak jadi dia tidak sepatutnya ditipu adalah Falasi Non-Sequitur.

‘Orang bijak tak semestinya tak boleh dikelirukan’. Ini merupakan contoh jelas ‘falasi non sequitur’, kesimpulan yang tidak mengikuti premis. Kebijaksanaan atau kecerdikan seseorang tidak pernah menjadi jaminan bahawa beliau kebal daripada penipuan.

Sejarah kewangan global membuktikan perkara ini. Myron Scholes, penerima Hadiah Nobel Ekonomi dan pencipta Formula Black-Scholes yang menjadi asas kewangan moden, turut terperangkap dalam skim Ponzi Stanford Financial Group yang melibatkan kerugian sekitar USD7 bilion. Walaupun Scholes merupakan ahli lembaga penasihat, beliau tidak pernah didakwa. Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat berpandangan bahawa individu genius sekalipun boleh dimanipulasi tanpa menyedari jenayah yang sedang berlaku.

Perbandingan ini menimbulkan satu persoalan besar terhadap asas logik penghakiman jika tokoh bertaraf Nobel pun boleh diperdaya atas asas apa mahkamah menyimpulkan bahawa Najib “mesti tahu” semata-mata kerana beliau dianggap bijak?

Falasi inilah yang berpotensi membuka ruang luas dalam proses rayuan, kerana ia menyentuh bukan soal fakta semata-mata tetapi asas logik dan prinsip undang-undang yang digunakan untuk mensabitkan kesalahan.

Kes derma Saudi bukan lagi soal simpati atau politik tetapi soal ketepatan prinsip keadilan. Apabila bukti transaksi sah, sokongan dokumen wujud, institusi kewangan tidak mengesan risiko, dan undang-undang hanya menuntut pembuktian keadaan minda maka penolakan keseluruhan naratif ini menuntut satu penjelasan yang jauh lebih kukuh. Jika tidak, persoalan yang tinggal ialah sama ada kegagalan ini berpunca daripada kelemahan hujah atau kegagalan untuk menilai hujah secara adil atau ada cerita lain di belakang kamar hakim?






Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.