Isu sebenar dalam perbicaraan berkaitan 1MDB dan SRC bukan lagi sekadar persoalan sama ada wang itu “derma” atau tidak tetapi bagaimana piawaian pembuktian yang tidak seimbang telah diterima dan ditolak oleh mahkamah.
Dalam satu sisi, pihak pendakwaan berjaya meyakinkan mahkamah untuk menerima pengakuan Jasmine Loo bahawa beliau “melihat draf surat penderma” di dalam komputer riba Jho Low. Dalam sisi yang lain, empat pucuk surat rasmi berkaitan sumbangan Arab Saudi ditolak, meskipun disokong oleh pelbagai pengakuan saksi dan fakta dokumentari.
Pihak pendakwaan membina kes dengan menerima sepenuhnya keterangan Jasmine Loo yang mendakwa beliau melihat draf surat penderma Arab Saudi dalam laptop suspek utama, Jho Low. Namun, pengakuan ini bersifat tidak langsung, tidak disokong oleh dokumen asal, tidak disahkan oleh pihak ketiga dan hanya berdasarkan apa yang “dilihat” bukan apa yang diterima atau dikeluarkan secara rasmi. Anehnya, keterangan seperti ini dianggap mencukupi untuk menafikan keseluruhan naratif sumbangan Arab.
![]() |
| sumber |
Sebaliknya, bukti yang menyokong kewujudan sumbangan Arab Saudi diketepikan. Ini termasuk empat surat berkaitan sumbangan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan, pengakuan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa mereka sendiri pernah berjumpa pihak istana Saudi semasa siasatan, serta pengakuan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengesahkan pernah bertemu dengan keluarga penderma. Selain itu, terdapat juga pengakuan saksi-saksi lain yang menunjukkan kewujudan hubungan diplomatik dan saluran rasmi antara Malaysia dan Arab Saudi dalam isu sumbangan ini.
Persoalan menjadi lebih serius apabila dirujuk kepada alasan penghakiman kes SRC. Dalam alasan penghakiman tersebut, dinyatakan secara jelas bahawa antara entiti yang memindahkan wang ke akaun peribadi Najib Razak ialah “Ministry of Finance, Riyadh”. Ini bukan istilah kabur. Ministry of Finance Riyadh merujuk secara langsung kepada Kementerian Kewangan Arab Saudi yang beribu pejabat di Riyadh. Maka secara fakta dan rekod perbankan terbukti bahawa wang tersebut dipindahkan oleh entiti rasmi kerajaan Arab Saudi.
Persoalan logik yang tidak pernah dijawab ialah mengapa Kementerian Kewangan Arab Saudi memindahkan wang ke akaun peribadi seorang Perdana Menteri asing jika bukan atas kapasiti negara dan hubungan dengan Raja? Jawapan kepada persoalan ini perlu dilihat dalam konteks sistem politik Arab Saudi itu sendiri.
Arab Saudi beroperasi di bawah konsep monarki mutlak yang sering dirumuskan melalui prinsip klasik “L’État, C’est Moi”, negara itu adalah raja. Dalam sistem ini, kedaulatan, kuasa pentadbiran, dan autoriti fiskal berpunca secara langsung daripada raja. Tidak wujud pemisahan mutlak antara harta negara dan kuasa peribadi raja seperti dalam sistem demokrasi berperlembagaan.
Dalam konteks tersebut, Kementerian Kewangan Arab Saudi bukan institusi bebas seperti di negara demokrasi, sebaliknya berfungsi sebagai instrumen di bawah mandat raja. Dasar fiskal, pengagihan kekayaan dan transaksi strategik dilaksanakan bagi memenuhi keputusan dan kehendak institusi diraja. Oleh itu, pemindahan wang oleh Kementerian Kewangan Arab Saudi secara prinsipnya adalah pemindahan yang berautoriti raja itu sendiri.
Namun, bukti yang bersifat “obvious” ini telah ditolak dalam kes SRC atas alasan bahawa nama Raja Saudi tidak tersenarai secara literal sebagai pihak yang membuat pemindahan. Alasan ini menimbulkan persoalan besar tentang kefahaman terhadap sistem monarki mutlak. Adakah mahkamah menjangkakan Raja Saudi sendiri menggunakan perbankan runcit, log masuk ke aplikasi perbankan atau memindahkan wang menggunakan akaun peribadi atas namanya sendiri?
Lebih ketara, dalam perbicaraan kes 1MDB-Tanore, apabila transaksi Kementerian Kewangan Arab Saudi ini dibangkitkan oleh peguam Najib Razak, saksi pendakwaan sendiri iaitu Pengurus Ambank mengakui bahawa transaksi tersebut adalah sah dan memang dibuat oleh Kementerian Kewangan Arab Saudi. Pengakuan ini tidak dipertikaikan dari sudut teknikal perbankan mahupun kesahihan transaksi.
Di sinilah timbul ironi terbesar dalam keseluruhan naratif pendakwaan. Pengakuan “melihat draf surat” diterima sebagai asas menolak derma Arab tetapi transaksi rasmi yang diakui oleh bank, dinyatakan dalam alasan penghakiman dan selari dengan sistem monarki Arab Saudi pula diketepikan. Lalu muncul persoalan yang tidak pernah dijawab secara jujur, adakah derma Arab ini dianggap “dongeng” hanya kerana ia tidak sesuai dengan naratif pendakwaan?
Kementerian Kewangan Arab Saudi memindahkan wang kepada Najib Razak bukan kerana Najib itu “negara” tetapi kerana dalam hubungan diplomatik dan sistem monarki mutlak, tindakan kementerian adalah refleksi kehendak raja. Menafikan realiti ini bukan sahaja mencabar logik, malah menimbulkan persoalan besar tentang konsistensi, keadilan dan integriti dalam penilaian bukti kes berprofil tinggi negara.



Comments
Post a Comment