Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yakin mampu mencipta kejutan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N36 Kundasang dan N45 Sook susulan perkembangan kempen yang menunjukkan sokongan semakin memberangsangkan di kedua-dua kawasan.
Ketua Penerangannya, Datuk Fredie Sua berkata kedua-dua kerusi itu meliputi kawasan besar dan mencabar kerana masing-masing disandang Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Belia dan Sukan.
“Sambutan pengundi di Kundasang dan Sook sangat positif dengan penglibatan rakan komponen termasuk UMNO yang membantu sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di Pekan Kundasang, di sini semalam.
Tambahnya, kerjasama dengan komponen BN turut terserlah apabila PBRS membantu calon BN di Paginatan dan Karanaan, manakala komponen lain membantu calon PBRS di kedua-dua kerusi yang ditandingi.
Dalam masa sama, Fredie berkata hubungan kukuh antara PBRS dan rakan gabungan memberi kekuatan tambahan dan meningkatkan keupayaan PBRS-BN untuk meraih keputusan positif.
“Kita yakin kemenangan berada dalam genggaman selepas dua minggu berkempen kerana sokongan pengundi semakin stabil dan memihak kepada PBRS-BN.
“Fokus kita sekarang ialah memastikan semua penyokong keluar mengundi pada 29 November (esok) bagi memastikan momentum ini diterjemahkan kepada kemenangan,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Fredie menyeru pengundi di DUN Kundasang supaya keluar mengundi dan memberi sokongan penuh kepada calon PBRS-BN, Japirin Sahadi.
Beliau turut menggesa pengundi di DUN Sook memilih calon PBRS-BN, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup bagi memastikan kedua-dua kerusi kekal dalam genggaman PBRS-BN pada PRN Sabah Ke-17.

Comments
Post a Comment