Kota masa depan Indonesia yang diimpikan sebagai ibu negara baharu kini berdepan risiko menjadi ‘bandar hantu’, tiga tahun selepas dilancarkan oleh bekas presiden Joko Widdo sebagai pengganti Jakarta yang sesak, tenggelam dan tercemar.
Terletak jauh di tengah hutan Kalimantan Timur, laluan lebuh raya pelbagai lorong kini terbuka luas menuju ke istana presiden yang megah dengan lambang garuda bersayap.
Namun, di sebalik bangunan futuristik dan boulevard lebar, suasana di Nusantara lengang, hanya kelihatan segelintir tukang kebun dan pelancong yang datang berkunjung.
Sejak Presiden Prabowo Subianto mengambil alih tampuk pemerintahan pada Oktober lalu, pembiayaan kerajaan untuk projek ini merosot lebih separuh iaitu daripada 2 bilion pound pada 2024 kepada hanya 700 juta pound tahun ini, dan dijangka 300 juta pound pada 2026, iaitu hanya sepertiga daripada jumlah yang diminta.
Pelaburan swasta juga gagal mencapai sasaran, dengan kekurangan lebih 1 bilion pound.
Malah, Prabowo yang masih belum melawat Nusantara sebagai presiden, menurunkan tarafnya kepada sekadar ‘ibu negara politik’ pada Mei lalu.
Ketika ini, hanya sekitar 2,000 penjawat awam dan 8,000 pekerja binaan menetap di sana, jauh daripada sasaran 1.2 juta penduduk menjelang 2030.
Walaupun beberapa kemudahan utama seperti bangunan kementerian, hospital, jalan raya dan lapangan terbang telah dibina, sebahagian besar kawasan masih dalam pembinaan.
Pensyarah undang-undang perlembagaan Universiti Mulawarman, Herdiansyah Hamzah, menyifatkan Nusantara sebagai ‘bandar hantu’ dan mendakwa status ‘ibu negara politik’ itu tidak mempunyai asas perundangan.
“Secara politik, projek ini seolah-olah tidak mahu hidup, tapi juga tidak mahu mati,” katanya lapor Utusan pada Khamis.
Namun, Ketua Pihak Berkuasa Ibu Kota Nusantara (OIKN), Basuki Hadimuljono, menafikan dakwaan kelembapan tersebut.
“Presiden berjanji akan meneruskan dan menyiapkan projek ini lebih cepat. Pembiayaan tidak dipotong, hanya disusun semula,” katanya.
Di sebalik keyakinan itu, perniagaan kecil di sekitar kawasan projek mengeluh pendapatan merosot selepas kehadiran pekerja binaan berkurang.
“Dulu semua bilik sewa penuh, kini hasil saya jatuh separuh,” kata Dewi Asnawati, pemilik kedai dan inap desa. Penduduk tempatan suku Balik pula mendakwa kehidupan mereka terganggu akibat banjir dan pencemaran sungai selepas pembinaan loji rawatan air baharu.
Sementara itu, kumpulan alam sekitar seperti Walhi memberi amaran tentang kemusnahan ekologi, mendakwa lebih 2,000 hektar hutan paya bakau telah ditebang bagi memberi laluan kepada lebuh raya dan pelabuhan.
“Nusantara akan menjadi kawasan berpagar tinggi untuk golongan elit, manakala masyarakat luar kehilangan ekonomi dan alam sekitar,” kata jurucakapnya, Fathur Roziqin Fen.
Kerajaan menafikan dakwaan kerosakan alam sekitar dan menegaskan hanya 25 peratus daripada kawasan seluas 252,000 hektar akan dibangunkan, selebihnya kekal sebagai kawasan hijau.

Comments
Post a Comment