Malaya Juga Berhak Ke Atas Perjanjian MA63: Pandikar Amin

Sedang tular di internet

“Pandangan melawan arus yang boleh menjadi bencana politik kepada Pandikar Amin”, kata pengalisis politik Sabah.

Bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, sekali lagi mencetuskan perdebatan apabila menegaskan bahawa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukanlah dokumen yang dibuat khusus untuk rakyat Sabah semata-mata, sebaliknya turut mengiktiraf hak dan kedudukan Malaya sebagai pihak yang sah dalam perjanjian tersebut.

Pandangan ini mungkin dilihat “neutral” dalam konteks undang-undang namun dari sudut politik Sabah kenyataan Pandikar itu boleh dianggap berisiko tinggi dan tidak selari dengan arus sentimen semasa baik dari kalangan kerajaan mahupun pembangkang negeri.

Di Sabah hari ini, hampir semua tokoh utama sama ada Hajiji Noor (GRS), Jeffrey Kitingan (STAR), Shafie Apdal (Warisan) atau Bung Moktar (BN) mengangkat naratif “hak Sabah dalam MA63 mesti ditegakkan”.

Isu 40% hasil negeri menjadi simbol perjuangan bersama merentasi parti. Dalam konteks ini, kenyataan Pandikar bahawa “Malaya juga berhak dalam MA63” dilihat menyongsang arus dan melemahkan perjuangan autonomi Sabah. Lebih teruk ianya menampakkan Pandikar Amin melencong dari perjuangan rakyat Sabah.

Bagi rakyat Sabah, pandangan Pandikar ini boleh ditafsir sebagai “menjual naratif Malaya”, satu persepsi yang amat berbahaya dalam politik tempatan yang sarat dengan emosi dan identiti kenegerian.

Ketika tokoh-tokoh Sabah lain menggunakan MA63 sebagai platform politik dan simbol kuasa tawar-menawar, Pandikar memilih untuk mengingatkan rakyat bahawa Malaysia bukan dibentuk untuk Sabah sahaja.

Secara akademik, kenyataan itu benar. Namun dalam realiti politik semasa, ia membawa mesej yang salah seolah-olah Pandikar mempertahankan dominasi Putrajaya dan menolak perjuangan otonomi Sabah yang kini menjadi modal politik utama hampir setiap parti.

Adakah Pandikar cuba membina “naratif berbeza” di tengah-tengah politik Sabah yang berteraskan semangat kenegerian?

Walaupun nampak berani dan telus tetapi kenyataan itu juga berpotensi membunuh karier politiknya sendiri.

Di peringkat akar umbi, rakyat Sabah telah lama dimomok dengan naratif bahawa MA63 adalah “dokumen kemerdekaan Sabah”.

Walaupun secara undang-undang Malaysia dibentuk melalui perjanjian bersama, realiti politik hari ini menuntut pemimpin Sabah tampil sebagai pejuang hak negeri dan bukan penafsir sejarah yang ‘tunduk’ terhadap Malaya.

Maka, apabila Pandikar berkata “Jangan anggap MA63 dibuat untuk orang Sabah saja,”

kenyataan itu boleh dibaca sebagai mengecilkan perjuangan rakyat Sabah yang telah sekian lama menuntut hak autonomi pentadbiran, hasil bumi dan pengiktirafan identiti wilayah.

Dalam bahasa politik mudah Pandikar sedang bermain di padang yang salah dengan mesej yang tidak popular dan ‘menjilat’ Anwar kerana beliau dikenali sebagai penyokong tegar Anwar dan 'pro Malaya'.


Sebagai Presiden USNO, Pandikar sedang cuba menghidupkan semula jenama politik lama yang pernah sinonim dengan perjuangan asal kemerdekaan Sabah. Namun tanpa naratif “Sabah First” atau “MA63 sebagai hak Sabah” yang sedang hangat dicanang selama ini, USNO akan sukar menembusi pengundi baharu yang lebih emosional dan nasionalistik terhadap isu negeri.

Pandikar sepatutnya lebih berhati-hati kerana parti-parti lain telah dan kekal menguasai naratif “hak Sabah”.

Walau niatnya mungkin untuk meluruskan fakta sejarah, kenyataan Pandikar boleh menjadi liabiliti besar. Dalam politik Sabah yang kini sangat bergantung kepada sentimen, rasional akademik bukanlah aset tetapi beban jika disampaikan tanpa sensitiviti politik.

Jika Pandikar terus mempertahankan tafsiran bahawa Malaya juga “berhak penuh” dalam MA63, beliau berpotensi kehilangan sokongan akar umbi Sabah termasuk daripada penyokong tradisi USNO sendiri.

Antara kenyataan Pandikar Amin sebelumnya berhubung dengan "MA63":

“Namun seperti mana-mana dokumen bersejarah, ia tidak kebal daripada tafsiran semula atau penyesuaian mengikut zaman,” 

“Jika perlu ada perjanjian baharu atau pelaksanaan semula dalam bentuk lebih tepat dan moden, itu adalah langkah berani dan bukannya menghapus sejarah,”

Sebaliknya, tokoh-tokoh lain akan mudah menggunakan kenyataan beliau untuk memaparkan diri mereka sebagai pembela sebenar hak negeri Sabah.

Pandikar bukan sekadar berdepan salah tafsir rakyat tetapi beliau sedang berdepan risiko menjadi parti USNO berkubur dengan mudah.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.