![]() |
| Mahathir |
Kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad menuduh kerajaan hari ini “menjual kedaulatan negara” melalui perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat ternyata mengundang persoalan besar tentang keikhlasan dan kelayakan beliau bercakap soal tersebut.
Rakyat tidak mudah lupa bahawa sewaktu era pentadbirannya, Malaysia kehilangan Pulau Batu Putih kepada Singapura. Satu kehilangan wilayah berdaulat yang berlaku di bawah pengawasan dan keputusan dasar luar kerajaan pimpinan beliau sendiri.
Jika benar beliau begitu prihatin terhadap kedaulatan negara, mengapa tindakan tegas mempertahankan Batu Putih tidak diambil ketika itu? Mengapa Malaysia gagal mengemukakan bukti serta hujah yang kukuh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), hingga akhirnya wilayah strategik itu tergadai pada 2008 hasil proses undang-undang yang bermula di bawah pentadbiran beliau?
Kini, apabila kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani perjanjian perdagangan timbal balik dengan Amerika Syarikat, Mahathir muncul menuduh kononnya Malaysia “menyerahkan kemerdekaan ekonomi” kepada kuasa besar.
Ironinya, ketika beliau memerintah lebih dua dekad, Mahathir juga menandatangani pelbagai bentuk perjanjian dan kerjasama dengan kuasa asing termasuk projek-projek yang melibatkan syarikat multinasional dari Jepun, Korea dan Barat. Malah, sebahagian dasar perindustrian negara yang digagaskan di bawah Dasar Pandang ke Timur turut dipacu oleh pelaburan asing berskala besar.
Apakah ketika itu tidak dianggap sebagai “penyerahan ekonomi”? Atau adakah apabila orang lain memerintah, semuanya dilihat salah dan menjual kedaulatan?
Mahathir dilihat lebih gemar meniup sentimen ketakutan dan anti-Barat untuk kepentingan politik. Ia merupakan merupakan perkara yang tidak membantu kestabilan negara, apatah lagi ketika Malaysia sedang memulihkan ekonomi pasca-pandemik.
Kedaulatan negara bukan sekadar slogan untuk menyerang lawan politik. Ia tentang tindakan berani mempertahankan maruah dan memperbetulkan kesilapan lalu.
Kerajaan hari ini sedang berusaha mengkaji semula keputusan kehilangan Pulau Batu Putih. Ia tidak pernah dilakukan ketika Mahathir mempunyai kuasa penuh.
Maka, sebelum menuding jari dan menuduh orang lain “menjual negara”, Mahathir seharusnya menjawab mengapa Malaysia kehilangan wilayah maritim strategik ketika beliau di puncak kuasa.
Dr. Mahathir perlu cermin diri sendiri sebelum menuduh kerajaan lain menjual kedaulatan. Sejarah telah tercatat ketika pentadbirannya, Malaysia bukan sahaja kehilangan Pulau Batu Putih malah kehilangan keyakinan rakyat terhadap kejujuran beliau dalam mempertahankan kepentingan negara.

Comments
Post a Comment