1MDB: Semua Elemen Penting Dalam Kesalahan AMLA Gagal Dibuktikan – Datuk Hasnal


Prosiding keenam hujahan akhir kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semalam menjadi medan tempur fakta antara pendakwaan dan pembelaan. Namun, berdasarkan perjalanan prosiding hari ini, jelas kelihatan barisan pendakwa mula kehilangan arah apabila fakta dan saksi sendiri berpihak kepada Dato’ Sri Najib Razak.

Pasukan pembelaan yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tampil dengan hujah padu bukan sekadar retorik, tetapi disokong oleh bukti teknikal dan pengesahan saksi pendakwa sendiri.

Bukti Kukuh Najib Tak Pernah Arah Pemindahan Wang

Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican menjelaskan bahawa semua elemen penting dalam kesalahan AMLA gagal dibuktikan, termasuk perbuatan (actus reus), niat (mens rea), dan sumber dana yang didakwa haram.

Tiga saksi utama pendakwaan Uma Devi, Yap Wai Keat dan Joanne Ayu mengesahkan bahawa tiada arahan daripada Najib Razak untuk sebarang pemindahan wang berjumlah USD681 juta (RM2.08 bilion).

Sebaliknya, arahan datang daripada Low Taek Jho (Jho Low) dan Nik Faisal Ariff Kamil, dua individu yang kini dalam pelarian.

“Bagaimana boleh dikatakan beliau melakukan perbuatan mengubah wang haram sedangkan tiada bukti langsung beliau memberi arahan pemindahan?”— Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah

Keterangan pegawai bank sendiri membongkar hakikat bahawa Jho Low yang memberi arahan terus kepada pihak bank, bukan Najib.

Transaksi Dipecahkan Oleh Bank, Bukan Najib

Antara fakta paling penting yang dibentangkan pembelaan ialah bagaimana wang daripada Tanore Finance Corporation melibatkan dua transaksi besar (USD620 juta dan USD61 juta) dipecahkan kepada sembilan transaksi kecil oleh pihak bank sendiri dan bukan atas arahan Najib.

Nazaruddin Mat Kassim, pegawai bank AmIslamic Bank mengesahkan bahawa pemecahan dilakukan untuk mematuhi arahan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mengelak kesan besar terhadap pasaran mata wang.

Namun anehnya, Najib tetap dituduh sembilan kali di bawah AMLA, seolah-olah beliau yang mengatur transaksi itu.

“Pihak bank yang melaksanakan proses itu, bukan anak guam saya. Mengapa sembilan pertuduhan dipalitkan kepada Najib sedangkan semuanya hasil proses perbankan?”— Datuk Hasnal Rezua Merican

Najib Percaya Itu Derma Arab Saudi

Pembelaan juga menegaskan bahawa Najib tiada niat jahat (mens rea). Beliau menerima dana tersebut dengan keyakinan penuh ia adalah derma peribadi keluarga Diraja Arab Saudi, sebagaimana telah dijanjikan oleh Raja Abdullah melalui surat rasmi.

Najib sebelum ini juga pernah menerima derma daripada sumber yang sama. Maka secara logik, tiada sebab untuk beliau menyangka wang kali ini datang daripada sumber berbeza.

“Sumber sebenar dana pun tidak pernah disahkan pendakwa sendiri, malah saksi mereka gagal membuktikannya datang dari 1MDB,”— Tan Sri Shafee Abdullah

Lebih mengejutkan, pihak pendakwaan langsung tidak menyiasat Falcon Bank, iaitu institusi pertama yang menyalurkan dana berkenaan — satu kelompongan besar dalam penyiasatan.

Surat Sokongan Diluluskan Kabinet, Bukan Salah Guna Kuasa

Pembelaan turut mematahkan tuduhan bahawa Najib menyalahgunakan kuasa dalam penerbitan bon 1GIL. Menurut Shafee, surat sokongan berkenaan dikeluarkan atas keputusan rasmi kerajaan selepas dua kali diluluskan oleh Kabinet.

“Kalau tiada kesalahan predikat, maka tiadalah kesalahan AMLA. Itu prinsip asas undang-undang,”— Tan Sri Shafee Abdullah

Ini sekaligus menolak dakwaan kononnya Najib menandatangani surat itu untuk kepentingan peribadi.

Pertuduhan Pendakwaan Tidak Konsisten dan Bertindih

Pembelaan turut mempersoalkan pertuduhan bercampur (duplicity) yang menggabungkan dua kesalahan berbeza Seksyen 16 (menerima suapan) dan Seksyen 23 (menyalahgunakan kedudukan) dalam satu kertas pertuduhan.

Lebih membingungkan, lokasi kesalahan disebut di AmIslamic Bank sedangkan semua keputusan rasmi dilakukan di Pejabat Menteri Kewangan. Ia menimbulkan kekeliruan terhadap jenis kesalahan sebenar yang perlu dijawab Najib.

Empat Elemen AMLA Gagal Dibuktikan

Shafee menegaskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan empat elemen utama AMLA:

  1. Tiada perbuatan (actus reus) oleh Najib;
  2. Tiada niat (mens rea) untuk melakukan kesalahan;
  3. Sumber dana tidak terbukti haram; dan
  4. Tiada kesalahan predikat di bawah Akta SPRM.

Menurutnya, keseluruhan kes 1MDB terhadap Najib lebih bersifat politik daripada perundangan, kerana tidak ada asas forensik yang kukuh untuk mengaitkannya secara langsung dengan sebarang transaksi haram.

Kes 1MDB kini beralih arus. Pembelaan bukan lagi sekadar bertahan mereka menyerang dan serangan ini berbentuk fakta, bukan naratif.

Setiap keterangan membuka ruang baharu bahawa tuduhan terhadap Najib mungkin disusun secara tergesa-gesa, penuh tekanan politik, dan longgar dari segi teknikal undang-undang.

Jika hujahan ini terus mengukuh, label “perompak” yang dilekatkan pada Najib mungkin tidak akan bertahan lama.

Perbicaraan akan bersambung hari ni di mana pembelaan bakal membedah isu “keterangan dengar cakap (hearsay)” — antara aspek paling rapuh dalam kes 1MDB setakat ini.


VIDEO KLIK DI SINI


Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.