1MDB: Pertuduhan Terhadap Najib Cacat


Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak hari ini menegaskan bahawa bekas Perdana Menteri itu tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi dalam keputusan Kabinet berhubung Terengganu Investment Authority (TIA), entiti yang kemudiannya bertukar menjadi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam hujahan di Mahkamah Tinggi Putrajaya, peguam utama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, keterangan tiga saksi pembela iaitu Datuk Seri Najib sendiri, Tan Sri Noh Omar dan Tengku Rahimah Sultan Mahmud secara jelas menolak dakwaan bahawa Najib mempunyai kepentingan ketika membentangkan memorandum Kabinet mengenai jaminan kerajaan kepada TIA.

Menurut Shafee, keputusan memberikan jaminan kerajaan kepada TIA dibuat oleh Kabinet pada 12 Disember 2008, yang ketika itu dipengerusikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi, bukan hasil inisiatif peribadi Najib.



Peguam Hasnal Rezua Merican menambah bahawa Najib hanya melaksanakan arahan Kabinet dengan menyediakan memorandum rasmi empat bulan kemudian, pada April 2009, bagi tujuan rekod dan pelaksanaan rasmi.

“Tidak ada sebarang bukti menunjukkan beliau mendapat manfaat atau kepentingan peribadi,” tegas Hasnal.

Saksi-saksi sahkan keputusan Kabinet, bukannya Najib

Tan Sri Noh Omar, yang juga bekas Menteri Kabinet, mengesahkan bahawa keputusan itu dibuat sebulat suara, dan Najib hanya membentangkan semula dokumen berkenaan atas arahan Kabinet.

“Jika beliau mempunyai kepentingan, tentu beliau akan mempercepatkan pembentangan itu. Sebaliknya, ia mengambil masa empat bulan,” katanya.


Sementara itu, Tengku Rahimah binti Sultan Mahmud, adinda kepada Sultan Mizan Zainal Abidin, menegaskan bahawa penubuhan TIA diilhamkan oleh baginda sendiri dengan nasihat Jho Low, dan Najib tidak terlibat langsung dalam penubuhan atau pengurusan awal entiti tersebut.

“Cadangan supaya TIA mendapat ‘government guarantee’ datang daripada Jho Low kepada Tuanku Mizan, bukan daripada Datuk Seri Najib,” katanya.

                                  Video Part 4 Klik di SINI





Shafee turut menjelaskan bahawa selepas jaminan kerajaan diberikan kepada pinjaman RM5 bilion yang diperoleh TIA, syarikat itu memohon dikecualikan daripada mengemukakan Letter of Comfort, iaitu surat rasmi menyatakan kesediaan membayar balik pinjaman.

Namun Najib menolak permohonan itu dan menegaskan bahawa surat tersebut tetap perlu dikemukakan sebagai langkah memastikan TIA bertanggungjawab ke atas hutangnya.

“Jika benar beliau mempunyai kepentingan dalam TIA, tentu beliau akan bersetuju untuk mengecualikan surat itu. Sebaliknya, beliau bertindak tegas menuntut prosedur kewangan dipatuhi,” jelas Shafee.

Keputusan ambil alih TIA dibuat Kabinet dipengerusikan Muhyiddin

Dalam keterangannya, Najib turut menjelaskan beliau tidak pernah memiliki saham, kepentingan perniagaan atau hubungan peribadi dengan mana-mana pihak dalam TIA.

Keputusan untuk mengambil alih TIA dan menukarnya kepada 1MDB dibuat oleh Kabinet yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Najib tidak menghadiri mesyuarat berkenaan.

“Fakta-fakta ini membuktikan dakwaan bahawa Najib mempunyai kepentingan adalah tidak berasas,” kata Shafee.

“Idea asal TIA datang daripada Tuanku Mizan, manakala keputusan jaminan kerajaan dibuat oleh Kabinet Tun Abdullah.”

Dalam hujahan lanjut, Shafee berhujah bahawa pertuduhan terhadap Najib dalam kes 1MDB melanggar prinsip asas undang-undang jenayah, kerana menggabungkan pelbagai kesalahan dalam satu kertas pertuduhan.

Menurutnya, empat pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM bersifat cacat kerana melibatkan beberapa tarikh, lokasi, perjawatan dan perbuatan berbeza, sekali gus bertentangan dengan Seksyen 163 Kanun Acara Jenayah yang memperuntukkan bahawa setiap pertuduhan hanya boleh mengandungi satu kesalahan sahaja.

“Dalam setiap pertuduhan terhadap anak guam saya, terdapat lima tarikh berbeza, empat lokasi berbeza, tiga perjawatan berbeza dan lima perlakuan jenayah berbeza digabungkan dalam satu kertas pertuduhan. Ia menafikan hak anak guam saya untuk tahu kesalahan mana yang perlu dibela,” katanya.

Beliau merujuk kes Jagar Singh (1936), Sam Ke Ting (basikal lajak) dan Ravindran lawan Pendakwa Raya, di mana mahkamah telah membatalkan sabitan apabila pertuduhan didapati menggabungkan lebih daripada satu kesalahan.

Shafee menjelaskan bahawa pendakwaan terhadap Najib menyatakan kononnya beliau menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan RM60 juta antara Februari hingga Jun 2011, namun pertuduhan yang sama turut menyenaraikan empat lagi tindakan berasingan antara 2009 hingga 2011, termasuk di Mesyuarat Kabinet Putrajaya dan Hotel Royal Bintang Damansara.

“Pertuduhan ini bukan sahaja melibatkan pelbagai tindakan, malah mencampuradukkan peranan Najib sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa terdapat kekeliruan apabila pendakwaan mendakwa kesalahan berlaku di AmBank Jalan Raja Chulan, sedangkan Najib tidak pernah berada di lokasi tersebut.

“Jika dikatakan kesalahan berlaku ketika wang masuk ke akaun, maka ia sepatutnya kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM (menerima suapan), bukan Seksyen 23 (menyalahgunakan kedudukan). Ini menunjukkan ketidakpastian asas dalam bentuk pertuduhan,” katanya lagi.

Shafee menegaskan bahawa kecacatan struktur pertuduhan itu menjadikannya tidak sah dan terbatal, dan atas prinsip keadilan, Najib wajar dilepaskan dan dibebaskan daripada semua pertuduhan berkenaan.

Barisan pembelaan menegaskan bahawa keseluruhan naratif pendakwaan terhadap Najib daripada isu TIA hingga 1MDB tidak menunjukkan sebarang kepentingan peribadi atau salah guna kuasa, sebaliknya membuktikan beliau bertindak mengikut keputusan Kabinet dan prinsip tadbir urus kerajaan yang telus.

Tunggu kemas kini seterusnya...

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.