1MDB: Pembelaan Dedah Mahkamah Silap Tarikh, Keputusan Penting Dibuat 8 Hari Lebih Awal


Pasukan pembelaan dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak hari ini membentangkan hujah baharu yang menggoncang asas utama pertuduhan bahawa mahkamah terdahulu tersilap apabila menjadikan tarikh 26 September 2009 sebagai bukti salah guna kuasa.

Menurut peguam Datuk Hasnal Rezua Merican, mahkamah sebelum ini tersalah tafsir apabila mendakwa Dato’ Sri Najib telah mengarah lembaga pengarah 1MDB melalui panggilan telefon kepada Tan Sri Mohd Bakke Salleh untuk meluluskan usaha sama dengan PetroSaudi International Limited.

Namun, pembelaan mendedahkan bahawa semua keputusan penting 1MDB berhubung projek PetroSaudi telah dibuat lapan hari lebih awal iaitu pada 18 September 2009 sebelum panggilan telefon itu berlaku.

Mesyuarat 18 September, Keputusan Sudah Dibuat, JV Sudah Wujud

Dalam mesyuarat lembaga 1MDB bertarikh 18 September 2009, dua pegawai kanan, Casey Tang Keng Chee dan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halim telah membuat pembentangan lengkap mengenai cadangan usaha sama dengan PetroSaudi.

Hasil mesyuarat itu, lembaga bersetuju meneruskan rundingan dan melantik Tan Sri Bakke serta Shahrol Azral sebagai wakil korporat dalam syarikat JV yang akan ditubuhkan.

Fakta penting:

  • 18 Sept 2009: Syarikat 1MDB PetroSaudi Limited telahpun ditubuhkan di British Virgin Islands (BVI).
  • 20 Sept: Penilai tenaga antarabangsa, Edward Elmos, menghantar surat kepada 1MDB menawarkan penilaian bebas aset PetroSaudi.
  • 25 Sept: Lembaga meluluskan pembukaan akaun bersama di BSI Bank Switzerland.

Langkah-langkah ini membuktikan projek sudah berjalan sebelum panggilan telefon 26 September yang menjadi asas pertuduhan.

Najib Tidak Arah Lulus, Hanya Minta Lembaga Pertimbangkan

Datuk Hasnal menjelaskan bahawa panggilan telefon Najib kepada Tan Sri Bakke bukan satu arahan, sebaliknya permintaan agar lembaga meneliti cadangan PetroSaudi yang dikategorikan sebagai projek strategik antara kerajaan dengan kerajaan (G2G).

Tan Sri Bakke sendiri mengesahkan beliau hanya menjawab:

“I would inform the other board members and we will look into it.”

Ini menunjukkan tiada paksaan, tiada arahan mutlak, malah lembaga bebas untuk menilai dan membuat keputusan mereka sendiri.

Lebih penting, resolusi 26 September 2009 turut menegaskan penyertaan dalam usaha sama itu adalah tertakluk kepada penilaian bebas aset PetroSaudi, bukan kelulusan muktamad seperti yang didakwa pendakwaan.

Kronologi Jelas: Sebelum dan Selepas 26 September 2009

Sebelum 26 September:
18 Sept – Mesyuarat lembaga, keputusan rundingan PetroSaudi dibuat.
18 Sept – Syarikat JV 1MDB PetroSaudi Ltd ditubuhkan (BVI).
20 Sept – Surat penilai bebas diterima.
25 Sept – Akaun bersama BSI Switzerland diluluskan.

Selepas 26 September:
28 Sept: CEO Shahrol Azral menandatangani perjanjian dengan PetroSaudi Holdings (Cayman) Limited  dan ianya bukan entiti yang dibentangkan kepada lembaga. CFO Radzi Muhammad arah pemindahan wang tanpa bukti arahan Najib.

Pembelaan: “Keputusan Lembaga Pun Mereka Tidak Ikut”

Datuk Hasnal turut memetik bekas pegawai penyiasat PDRM, SAC Rajagopal yang pernah mengesyorkan supaya pegawai-pegawai 1MDB sendiri didakwa kerana bertindak bertentangan dengan keputusan lembaga.

“Bukan sahaja keputusan Dato’ Sri Najib, keputusan lembaga pun mereka tak ikut,” katanya. 

“Pegawai-pegawai membuat tindakan sendiri hingga menyebabkan keberhutangan dan pelanggaran tadbir urus tetapi akhirnya, Dato’ Sri Najib yang menanggung pertuduhan.”

Menurut pembelaan, hasrat asal Najib untuk mewujudkan projek G2G antara Malaysia dan Arab Saudi telah diseleweng oleh pihak pengurusan 1MDB sendiri.

Tarikh 26 September Tidak Lagi Kukuh

Hujahan hari ini memperkukuh dakwaan bahawa elemen salah guna kuasa yang dikaitkan dengan panggilan telefon 26 September 2009 tidak mempunyai asas faktual.

Dengan bukti keputusan telah dibuat lebih awal, syarikat JV sudah ditubuhkan, dan akaun bersama telah dibuka sebelum tarikh itu, pembelaan menegaskan bahawa dakwaan terhadap Dato’ Sri Najib adalah tidak menyeluruh, tidak tepat, dan perlu dinilai semula.


VIDEO penjelasan dari Datuk Hasnal Rezua Merican, klik di SINI

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.