Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak hari ini menegaskan wujud percanggahan besar dalam keterangan saksi-saksi pendakwaan berhubung dana 1MDB, khususnya mengenai sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi.
Menurut peguam Dato’ Hasnal Rezua Merican, dua saksi utama pendakwaan Joanna Yu (AmBank) dan Jasmine Loo (bekas pegawai Jho Low) telah memberikan dua versi cerita yang saling bercanggah tentang asal-usul empat surat derma Arab Saudi yang menjadi isu utama dalam kes itu.
Joanna Yu menyatakan bahawa keempat-empat surat derma tersebut diterima oleh AmBank menjelang Jun 2014, sementara Jasmine Loo pula mendakwa surat-surat itu dipalsukan pada Januari 2015 di Mayfair, London, oleh Kee Kok Thiam atas arahan Jho Low.
“Bagaimana surat yang sudah diterima pada Jun 2014 boleh dikatakan dipalsukan pada Januari 2015? Pendakwaan sendiri membawa dua versi yang bercanggah,” tegas Hasnal dalam kenyataannya selepas perbicaraan hari pertama kes pembelaan itu di Mahkamah Tinggi.
Menurut Hasnal, walaupun Jasmine Loo cuba menimbulkan keraguan terhadap ketulenan surat-surat tersebut, bukti transaksi antarabangsa (SWIFT confirmation) tidak mungkin boleh dipalsukan.
Dokumen rasmi yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan sendiri menunjukkan bahawa dana ke dalam akaun Najib datang terus daripada akaun milik Kementerian Kewangan Arab Saudi serta anak-anak Raja Arab Saudi termasuk Putera Faisal Turki bin Bandar Al Saud.
“SWIFT confirmation bukan dokumen rekaan. Ia datang terus daripada bank-bank di Arab Saudi. Tiada siapa boleh cipta transaksi antarabangsa seperti ini,” jelas beliau.
Hasnal turut menjelaskan bahawa Najib tidak pernah cuba menyembunyikan penerimaan dana tersebut. Akaun yang digunakan dibuka atas nama sendiri dengan tujuan akaun dimaklumkan kepada AmBank dan Bank Negara Malaysia.
Lebih penting, selepas menggunakan sebahagian dana untuk aktiviti sosial dan politik, Najib memulangkan semula USD620 juta daripada jumlah keseluruhan USD681 juta kepada akaun asal di luar negara.
“Kalau ini skim penyelewengan, mengapa beliau maklumkan kepada bank dan Bank Negara? Semua dibuat secara telus dan direkodkan,” tegas Hasnal.
Mahkamah turut dimaklumkan bahawa pasukan siasatan Malaysia sendiri pernah ke Riyadh dalam misi rasmi bagi mendapatkan pengesahan daripada pihak Arab Saudi. Delegasi itu terdiri daripada pegawai SPRM dan Polis Diraja Malaysia termasuk Tan Sri Azam Baki, Tuan Fikri Abdul Rahim, Muhammad Nasharudin Amey, Datuk Muhammad Hafaz Nazar serta SAC Raja Gopal.
Rombongan tersebut dilayan sebagai tetamu rasmi kerajaan Arab Saudi, termasuk penginapan, kenderaan dan penerbangan khas menggunakan jet peribadi kerajaan.
Di Riyadh, mereka menemui Muhammad Al-Khoman, wakil kepada Putera Saud, yang mengesahkan bahawa Raja Abdullah sendiri memberi amanah supaya sumbangan disalurkan kepada Najib melalui dua orang puteranya.
“Keterangan rasmi SPRM dan polis mengesahkan bahawa sumbangan ini benar, bukan rekaan,” kata Hasnal.
Pembelaan turut berhujah bahawa keterangan Jasmine Loo tidak boleh diterima kerana bukan sahaja bercanggah dengan Joanna Yu, malah disangkal oleh saksi lain serta bukti rasmi.
Hasnal juga mendedahkan bahawa Kee Kok Thiam, individu yang disebut oleh Jasmine Loo sebagai pemalsu surat, tidak pernah menyebut perkara itu dalam kenyataan rasminya kepada SPRM sebelum meninggal dunia.
“Pendakwaan bawa dua saksi dengan dua versi berbeza. Ini jelas menunjukkan Jasmine Loo tidak bercakap benar,” katanya.
Menurut Hasnal, segala tindakan Najib daripada membuka akaun, memaklumkan kepada bank, hingga memulangkan dana telah menunjukkan beliau benar-benar percaya bahawa dana itu adalah derma sah daripada keluarga diraja Arab Saudi.
“Tidak ada rumah mewah, tidak ada lukisan Picasso, tidak ada patung berjuta-juta seperti Jho Low. Semua wang digunakan untuk tujuan sosial dan politik seperti dijanjikan,” katanya.
Hasnal menegaskan bahawa dengan wujudnya percanggahan ketara antara saksi pendakwaan dan bukti rasmi dari bank antarabangsa, mahkamah kini perlu menilai keterangan mana yang lebih kukuh.
“Keterangan Jasmine Loo sudah disangkal. Bukti SWIFT dan siasatan rasmi mengesahkan dana itu benar. Kini tiba masanya mahkamah menilai kebenaran sebenar,” katanya.
Perbicaraan hujahan akhir pembelaan kes 1MDB Tanore ini bersambung esok di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.


Comments
Post a Comment