Cadangan Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar, yang menamakan Dr Aliakbar Gulasan sebagai calon Ketua Menteri Sabah daripada PAS jika menang dalam PRN Sabah bukanlah satu kenyataan kosong. Sebaliknya ia adalah mesej politik yang sangat jelas, PAS kini mahu menonjolkan diri sebagai Abang Besar dalam Perikatan Nasional (PN), sekali gus menyingkirkan peranan dominan yang selama ini cuba dimainkan oleh PPBM.
Bagi penganalisis politik, muktamar tahunan PAS kali ini tidak lain tidak bukan ialah sebuah ‘majlis perisytiharan kuasa’. Ia merupakan pentas untuk PAS menyampaikan kepada seluruh gabungan PN bahawa sudah tiba waktunya mereka memimpin bukan lagi sekadar rakan pelengkap.
Naratif itu sebenarnya sudah dipanaskan sejak beberapa bulan lalu apabila nama Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu, dicanang sebagai calon Perdana Menteri ke-11. Muktamar kali ini hanya berfungsi sebagai forum pengesahan, tempat di mana ahli parti diyakinkan bahawa masa depan PN ialah di bawah kendalian PAS, bukan PPBM.
Namun dalam perjalanan untuk mendominasi PN, PAS juga berdepan cabaran dalaman. Blok konservatif totok iaitu golongan yang hanya menerima pemimpin berkopiah, tetap berpegang kepada slogan lama, “Kepimpinan Melalui Ulama.”
Bagi meredakan pertentangan ini, Ketua Pemuda PAS Malaysia mencadangkan Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai alternatif calon PM selain Samsuri. Langkah itu bersifat damage control, memastikan dua kem dalam parti tidak bercakaran terbuka.
Ucapan rasmi Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, dengan tema “Islam Sebagai Penyelesaian”, pula menegaskan kembali bahawa PAS tidak akan berganjak dari garis kerasnya iaitu “hanya golongan ulama layak mentadbir”.
Lebih menarik, walaupun PAS tidak pernah menang sebarang kerusi di Sabah sepanjang PRN sebelum ini, parti itu kini menunjukkan keyakinan luar biasa. Keyakinan ini berasaskan kepercayaan bahawa rakyat Sabah sedang dahagakan “politik Islam” dan sudah bersedia menerima agenda PAS.
Analisis dalaman PAS jelas, jika di Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis mereka mampu menutup premis judi tanpa bantahan besar, maka model pentadbiran serupa boleh dipaksakan ke Sabah. Logik mereka mudah “arak ibu segala maksiat” oleh itu, Islamisasi gaya Pantai Timur mesti diperluas ke Borneo.
Namun, persoalan besar timbull, apakah realiti politik Sabah benar-benar seiring dengan naratif PAS? Atau ini hanya ilusi kuasa hasil mabuk retorik muktamar?
Kenyataan Sukri Omar bukan gurauan politik tetapi cabaran terbuka kepada PPBM. Selama ini, parti Muhyiddin Yassin berusaha keras menampilkan diri sebagai peneraju PN. Tetapi kini, dengan PAS secara lantang menamakan calon Ketua Menteri Sabah, mesejnya jelas bahawa PN bukan lagi bernaung di bawah PPBM, sebaliknya tunduk kepada PAS.
Pertembungan ini mungkin tidak diucapkan secara rasmi, namun semakin ketara. PPBM kini berdepan dilema besar, sama ada tunduk pada dominasi PAS, atau mencari jalan lain untuk mengekalkan relevansi politiknya.
Di sebalik naratif serius ini, wujud sindiran politik yang berlegar dalam kalangan pemerhati, jika benar Sabah ditawan PAS, negeri itu mungkin akan diberi jolokan baharu, “Sabah Darul Bayu”.
Gelaran ini bukan sekadar simbolik tetapi menggambarkan corak politik PAS yang suka menjenamakan wilayah kuasanya dengan identiti agama. Jika Kelantan digelar Serambi Mekah, maka tidak mustahil PAS akan menukar wajah Sabah mengikut acuan serupa.
Bersedialah rakyat Sabah, PAS sedang memperluas medan jihad politiknya, dari Pantai Timur Semenanjung hingga ke Borneo. Dan jika benar mereka berjaya, tidak mustahil selepas Kelantan dengan gelaran “Serambi Mekah”, kita akan mendengar pula satu istilah baharu bergema di bumi bawah bayu: “Sabah Darul Bayu?”

Comments
Post a Comment