Tuduhan Zuhdi Marzuki bahawa hubungan Zahid Hamidi–Anwar Ibrahim menjadi punca keretakan Muafakat Nasional (MN) adalah satu putar belit sejarah yang nyata. Hakikatnya, UMNO ketika itu kekal komited mempertahankan MN kerana yakin gabungan UMNO–PAS mampu mencapai majoriti dua pertiga di Parlimen. Sebaliknya, PAS yang mengkhianati piagam MN apabila memilih untuk lebih rapat dengan Bersatu demi jawatan dan dana politik.
Garis Masa Fakta (2018 – 2022)
2018–2019: Kelahiran MN di mana UMNO dan PAS lahirkan MN untuk bela Melayu-Islam, bukan kerana jawatan.
Selepas kekalahan BN dalam PRU-14, UMNO ditekan supaya dibubarkan dan menyertai Bersatu. Presiden UMNO, Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menolak tekanan ini, UMNO kekal teguh.
Pada masa yang sama, rakyat marah dengan isu ICERD dan Statut Rom di bawah kerajaan PH yang mana ketika itu PPBM masih bersama DAP. Ketika inilah UMNO dan PAS bangkit bersama dengan menandatangani Piagam Muafakat Nasional (2019), simbol penyatuan umat Melayu-Islam selepas PH gagal.
2020: Langkah Sheraton; PAS membuka pintu untuk PPBM, bukan UMNO. Penyatuan ummah berubah jadi pelengkap jumlah angka politik bagi PN.
Langkah Sheraton menyaksikan pemimpin PPBM keluar daripada PH dan membentuk kerajaan baharu bersama PAS dan sebahagian UMNO. Dari sinilah idealisme MN mula pudar. PAS mendesak supaya PPBM diserap masuk ke dalam MN, sedangkan UMNO yang masih trauma dengan pengkhianatan PPBM pada 2018 menolak keras.
2020–2021: Sabotaj Terang-terangan; UMNO dikhianati oleh PAS–PPBM, bukan sebaliknya.
Dalam PRN Sabah 2020, PN berjanji tiada pertembungan kerusi, namun calon ketiga dihantar untuk memecah undi UMNO. Malah, beberapa ADUN UMNO melompat menyertai Bersatu. Tidak cukup dengan itu, propaganda “Kluster Mahkamah” dimainkan oleh jentera PN untuk melemahkan UMNO, sedangkan ia bukan naratif rakyat.
Lebih parah, Darurat COVID-19 dijadikan alasan untuk menyekat gerakan UMNO, dan terdapat kes di mana ahli UMNO didaftarkan sebagai ahli Bersatu tanpa pengetahuan.
2021–2022: UMNO Buktikan Boleh Berdiri Sendiri; Tanpa PAS–PPBM, UMNO menang besar. Inilah jawapan sebenar kepada isu penyatuan ummah.
UMNO akhirnya menarik sokongan terhadap Muhyiddin kerana kegagalannya mengurus pandemik. Kejatuhan kerajaan PN membuktikan UMNO masih faktor penentu.
Dalam PRN Melaka (2021) dan PRN Johor (2022), UMNO menolak PAS–PPBM, bertanding secara solo, dan menang besar. Rakyat memberi isyarat jelas bahawa mereka lebih percaya UMNO tanpa PAS–PPBM.
2022: PRU15 Dan Kerajaan Perpaduan: UMNO masuk kerajaan dengan syarat jelas, bukan tunduk. PAS pula pernah bersama DAP tanpa sebarang syarat.
PRU15 menghasilkan Parlimen tergantung. YDPA mencadangkan kerajaan perpaduan, PH bersetuju tetapi PN menolak. UMNO akhirnya menyertai kerajaan dengan 10 syarat bertulis – mempertahankan Islam, Melayu, Raja-Raja, Bahasa Melayu, MA63, ekonomi adil dan banyak lagi. Semua syarat itu dipatuhi dalam Kerajaan Perpaduan.
Sejarah tidak boleh diputar belit. Jika benar MN runtuh, ia runtuh kerana pengkhianatan PAS yang lebih memilih PPBM daripada mempertahankan piagam asal. UMNO kekal konsisten, sementara PAS terperangkap dalam permainan kuasa. Hari ini, UMNO membuktikan bahawa hanya dengan sikap matang dan syarat jelas, parti ini mampu menjadi penstabil politik negara.
Janganlah terlalu banyak “Sanusi” dalam PAS, buka mulut je bohong!

Comments
Post a Comment