Naratif populis yang sedang dan kerap kali dibina adalah bahawa setiap pelajar dengan CGPA 4.0 seharusnya mendapat tempat di universiti penyelidikan utama di Malaysia. Ia menegaskan bahawa persepsi tersebut adalah simplistik dan mengabaikan realiti struktur pengambilan pelajar yang lebih kompleks. Malah wacana politik sering memanipulasi isu ini tanpa memahami ekosistem pendidikan tinggi negara.
Bagaikan menjadi perdebatan rasmi tahunan tentang isu kemasukan pelajar lepasan prauniversiti ke universiti awam.
Paling ketara ialah retorik mengenai “pelajar 4.0 yang tercicir”. Kenyataan ini sering dijadikan modal politik, seolah-olah CGPA 4.0 adalah pasport automatik untuk menjejak kaki ke Universiti Malaya (UM) atau universiti penyelidikan lain. Hakikatnya, realiti jauh lebih kompleks daripada persepsi mudah ini.
Universiti penyelidikan di Malaysia bukan sahaja menerima permohonan daripada lepasan STPM, tetapi juga daripada laluan lain iaitu matrikulasi, asasi, diploma dan antarabangsa. Lebih ironik, universiti tersebut memiliki pelajar asasinya sendiri, dan keutamaan sering diberikan kepada mereka. Justeru, seorang pelajar dengan CGPA 4.0 bukan sahaja bersaing dengan rakan senasib STPM, tetapi juga dengan ribuan calon lain yang sama-sama mendakwa diri mereka “terbaik”.
Sistem UPU bukan medan angan-angan tetapi medan strategi. Misalnya, bagi seseorang yang mahu menjadi akauntan, ijazah Sarjana Muda Perakaunan adalah syarat asas. Kursus tersebut ditawarkan bukan hanya di UM atau UKM, tetapi juga di universiti komprehensif seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS) atau Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Namun, wacana politik sering mengaburkan fakta ini dengan gambaran sempit bahawa kejayaan hanya bermakna diterima ke universiti penyelidikan.
Apabila ada pihak mendakwa “pelajar cemerlang disisihkan”, mereka sebenarnya menafikan hakikat bahawa ribuan lagi pelajar dengan pencapaian sama juga bersaing.
Realiti yang tidak disebut ialah: tidak semua 4.0 itu sama. Ada 4.0 daripada STPM, ada 4.0 daripada matrikulasi, ada 4.0 daripada asasi universiti, malah ada 4.0 daripada diploma.
Retorik “ketidakadilan” hanya menimbulkan persepsi seolah-olah sistem diskriminatif, sedangkan masalah utamanya ialah lebihan permintaan berbanding kapasiti.
Sekiranya seorang pelajar gagal ke UM atau USM, itu tidak bermakna dia gagal dalam hidup. Universiti komprehensif dan teknikal turut melahirkan graduan yang berjaya dalam profesion perakaunan, perubatan, kejuruteraan dan pendidikan. Tetapi realiti ini jarang dipopularkan kerana ia tidak menarik perhatian media atau tidak memberi nilai politik.
Isu “pelajar 4.0 tercicir” hanyalah satu naratif yang dibina tanpa melihat keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi. Ia lebih bersifat retorik daripada realiti. Sebenarnya, sistem UPU menuntut strategi, bukan sekadar CGPA. Malangnya, wacana politik lebih gemar menjual sensasi ketidakadilan berbanding mendidik masyarakat tentang realiti persaingan.

Comments
Post a Comment