Kenyataan panas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii mencetuskan perhatian apabila beliau menempelak tindakan Dr Mohamad Khir Toyo yang meninggalkan UMNO untuk menyertai Perikatan Nasional (PN). Beliau berkata demikian ketika Segmen Persepsi AHF bersama beliau bagi membincangkan isu politik semasa.
Razlan tidak mempertikaikan hak sesiapa untuk beralih parti, namun membidas keras tindakan bekas Menteri Besar Selangor itu yang meninggalkan parti sambil menghentam UMNO.
“Nak keluar UMNO, keluar jelah. Pergi tawar apa yang dia boleh beri pada rakyat, tapi jangan cerca balik parti yang dah berjasa pada dia,” katanya dengan nada sinis.
Bebas Berpindah, Tapi Beradab
Menurut Razlan, politik memerlukan prinsip dan adab. Seseorang pemimpin yang benar-benar yakin dengan perjuangan baharu tidak perlu menjatuhkan parti lama demi meraih perhatian.
“UMNO ini bukan hidup kerana seorang dua pemimpin, tetapi kerana kekuatan jutaan ahli yang setia,” tegasnya.
Gelombang Keluar-Masuk Bukan Ancaman
Beliau turut mengingatkan bahawa UMNO sudah berdepan pelbagai ujian, termasuk penghijrahan beberapa tokoh, namun parti itu kekal berdiri teguh.
“Jangan gigit tangan yang pernah memberi makan. UMNO ini rumah kita, dan rumah ini tetap akan dipertahankan,” ujar Razlan.

Comments
Post a Comment