Bahagian II
Dalam siaran langsung podcast ‘Yang Berhenti Menteri’ semalam, Rafizi Ramli sekali lagi tampil dengan kenyataan yang menimbulkan persoalan terhadap kekuatan sebenar Parti Keadilan Rakyat (PKR). Secara terbuka, beliau mengakui bahawa kekuatan UMNO-BN datang dari struktur akar umbi yang telah lama terbina sejak era awal penubuhan politik tanah air.
Rafizi juga menyentuh mengenai PAS yang meskipun memiliki akar umbi yang kuat, hanya mampu menang kerusi dalam jumlah kecil di peringkat Parlimen. Sebaliknya, beliau menyatakan bahawa kekuatan PKR dan DAP tidak bersandar pada kekuatan akar umbi tetapi lebih kepada keupayaan mengolah isu terutamanya dalam mencipta naratif di media sosial.
Namun, kenyataan Rafizi ini juga menyerlahkan sindiran terhadap partinya sendiri. Apabila kekuatan parti bergantung sepenuhnya kepada manipulasi isu semasa, timbul persoalan, adakah naratif yang dibina sekadar fakta atau telah melangkaui garis menjadi fitnah?
Tambah menghangatkan suasana, Rafizi secara sinis memperlekeh Ketua Setiausaha Politik Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Md Akin, yang kononnya memandang rendah pendekatan ‘media digital’ Rafizi. Kritikan ini menunjukkan adanya keretakan bukan sahaja dalam struktur PKR, tetapi juga dalam cara pendekatan komunikasi dalam kem Anwar sendiri.
Paling mencuri tumpuan, Rafizi dilihat masih menyimpan luka kekalahan apabila menyindir pemilihan parti yang lalu. Menurutnya, calon yang menang bukanlah individu yang dikenali rakyat, manakala calon yang kalah termasuk dirinya kononnya adalah ‘pengantara sebenar rakyat’.
Dengan pendedahan demi pendedahan ini, jelas bahawa Rafizi tidak lagi hanya menentang musuh di luar parti. Sasaran beliau kini adalah dalaman satu petanda bahawa krisis kepercayaan dalam PKR semakin terbuka.
Bersambung ke Bahagian III...

Comments
Post a Comment