Tatkala gelombang keyakinan terhadap reformasi semakin surut, muncul suara lantang dari dalam kem PKR sendiri kali ini bukan dari pihak lawan, tetapi daripada Naib Presiden parti, Rafizi Ramli. Dalam siri pendedahan terbarunya, Rafizi tidak menyembunyikan keresahan terhadap apa yang dianggap sebagai amalan nepotisme dan kronisme yang kian meresap dalam struktur parti.
Antara yang menjadi perhatian ialah pelantikan semula Nurul Izzah Anwar, anak kepada Perdana Menteri dan Presiden PKR, ke jawatan berpengaruh sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri. Walaupun beliau mempunyai kelulusan dan pengalaman, pelantikan itu tetap mencetuskan persoalan tentang meritokrasi nilai yang selama ini diperjuangkan oleh PKR sejak era Reformasi 1998.
Lebih memburukkan keadaan, wujud dakwaan bahawa individu rapat dengan kepimpinan khususnya Farhash Wafa Salvador, bekas Setiausaha Politik Anwar telah menerima kontrak-kontrak besar selepas peralihan kerajaan. Perkara ini didedahkan secara tersirat oleh Rafizi dalam siri siaran langsung podcast ‘Yang Berhenti Menteri’, sekali gus membina persepsi bahawa amalan kronisme mungkin sedang dipelihara dalam ‘kerajaan reformasi’.
Rafizi yang selama ini dilihat sebagai arkitek utama strategi politik PKR, kini dilihat semakin menjauh daripada kem kepimpinan utama. Kritikan terbuka terhadap amalan pelantikan berasaskan hubungan kekeluargaan dan kepercayaan peribadi menggambarkan retakan serius dalam naratif "politik baharu" yang dilaungkan PKR.
Amalan yang menyerupai corak pentadbiran kerajaan lama bakal menjadi senjata makan tuan. PKR yang dulunya membina kekuatan atas nama keadilan, keterbukaan, dan integriti kini perlu berdepan dengan persoalan besar adakah mereka sedang menjilat ludah sendiri?
Rafizi sudah menyalakan suar amaran. Namun, mampukah PKR menginsafi isyarat ini sebelum keyakinan rakyat runtuh sepenuhnya?
Bersambung ke Bahagian IV...

Comments
Post a Comment