Kekayaan Anak Mahathir Sehingga RM4 Bilion?


Mahathir membidas Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana berkata anak-anaknya perlu memulangkan kekayaan mereka kepada kerajaan jika ia diperolehi menerusi cara yang salah atau meragukan.

Menggelar Anwar sebagai “pembohong hebat”, bekas perdana menteri itu merujuk dakwaan presiden PKR itu yang dua anaknya, Mokhzani dan Mirzan masing-masing memiliki kekayaan berjumlah “RM1.2 bilion dan RM4 bilion”.

“Di mana dia dapat semua angka dan pernyataan?” soal Mahathir dalam hantaran di media sosial, sambil menegaskan dia telah memberi penjelasan berhubung harta yang dimilikinya.

Mahathir merujuk kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki bahawa Mokhzani telah mengisytiharkan asetnya yang bernilai hampir RM1 bilion, manakala Mirzan berjumlah RM246.2 juta.

“Dan Azam berkata SPRM berpuas hati dengan pengisytiharan yang dibuat Mokhzani dan Mirzan. Adakah Azam berpuas hati tanpa mengetahui sumber kekayaan itu? SPRM telah soal siasat anak-anak saya banyak kali, setiap kali selama berjam-jam. Adakah SPRM tanya tentang sumber kekayaan yang diisytihar,” katanya lagi.

Mahathir menjelaskan angka itu merujuk nilai aset - bukan tunai - yang merangkumi hartanah, saham, liabiliti dan pegangan lain daripada kegiatan perniagaan selama dua dekad. Nilai sejumlah aset ini juga meningkat.

“SPRM tidak menyatakan sumber itu ‘tidak jelas atau tidak sah’. SPRM dan Azam tidak boleh kata mereka berpuas hati “jika pengisytiharan tidak jelas atau tidak sah’.

“Kenapa saya atau anak-anak saya mengaku berkenaan sesuatu yang tidak benar. I atau anak-anak saya tak pernah isytihar kami miliki RM1.2 bilion atau RM3 bilion,” tegasnya.

Dia mempersoalkan jika Anwar mahu keluarganya menjual aset-aset yang dimiliki dan menyerahkan hasilnya kepada kerajaan.

“Dia buat tuntutan ini atas dasar apa?” soalnya.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Indonesia, Najwa Shihab di Jakarta minggu lalu, Anwar berkata kekayaan luar biasa yang dimiliki oleh anak-anak Mahathir menimbulkan kebimbangan serius, khususnya memandangkan jumlah yang terlibat sangat besar.

Anwar berkata dia tidak membuat tuduhan melulu dan telah menyerahkan perkara itu kepada SPRM.

“Tetapi jika mereka sendiri mengaku — bukan tuduhan, sebaliknya pengakuan — bahawa ‘saya (Mahathir) atau anak saya ada RM1.2 bilion, dan seorang lagi RM4 bilion’, maka wang itu perlu dipulangkan.

“Wang itu mesti dikembalikan, kecuali jika anda boleh jelaskan dengan jelas dari mana dana itu diperoleh,” katanya.

Mengulas mengenai himpunan yang dianjurkan PAS pada 26 Julai lalu, di mana dia turut memberikan ucapan, Mahathir berkata himpunan itu bukan untuk menyokongnya mahupun anak-anaknya.

“Rakyat minta Anwar letak jawatan. Mereka tidak mahu dia kerana dia sebagai perdana menteri telah menyebabkan banyak kesusahan kepada rakyat,” katanya.

Dia mencabar Anwar untuk membubarkan Parlimen agar pilihan raya umum diadakan, jika dia benar-benar yakin rakyat masih menyokongnya.

“Bukan ahli Parlimen yang tunjuk perasaan. Jadi, usul di Parlimen tidak relevan,” katanya, merujuk kepada cabaran Anwar agar pembangkang membawa usul undi tidak percaya terhadapnya.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.