Dalam landskap politik yang semakin sarat dengan retorik dan lakonan persepsi, YB Dato’ Seri Haji Ahmad Maslan tampil sebagai figura luar biasa dalam UMNO seorang pemimpin yang tidak hanya berucap untuk didengari, tetapi berbicara dengan fakta, semangat, dan realiti rakyat di bawah.
Bukan mudah mencari pemimpin yang benar-benar mampu membangkitkan semangat akar umbi, khususnya dalam saat UMNO diuji dengan gelombang tekanan, fitnah dan perpecahan. Namun, begitu beliau lebih mesra dikenali sebagai Tok Mat Maslan sentiasa hadir dengan mesej jelas: perjuangan UMNO mesti berlandas prinsip, bukan populariti semata-mata.
Dalam setiap ucapannya, sama ada di kampung, di dewan, mahupun dalam sidang media nasional, Ahmad Maslan tidak pernah mengangkat retorik kosong. Beliau menyampaikan data, dasar, dan naratif yang mengajak rakyat berfikir, bukan sekadar bersorak.
Ketika ramai pemimpin lebih selesa bermain dengan imej dan gaya, Tok Mat memilih untuk kekal dengan pendekatan sederhana, merakyat dan berfakta. Beliau kekal konsisten sejak era beliau sebagai Setiausaha Agung UMNO sehinggalah kini sebagai Ahli Parlimen dan Timbalan Menteri Kerja Raya.yang disegani.
Tidak menghairankan apabila tokoh seperti Ahmad Maslan menjadi sasaran serangan peribadi dan fitnah politik. Musuh politik sedar beliau bukan calang-calang pemimpin. Beliau bukan boneka, dan tidak tunduk pada tekanan luar mahupun naratif luar kawalan.
Oleh sebab itu, musuh-musuh UMNO bekerja keras membina persepsi buruk terhadap beliau menggambarkannya sebagai tidak relevan, mengolok-olok pernyataannya, dan memutarbelit fakta yang beliau sampaikan.
Yang lebih menyedihkan, ada juga dalam kalangan ahli UMNO sendiri yang mula termakan dengan persepsi ini terlupa bahawa Ahmad Maslan pernah menjadi antara tulang belakang penting dalam menguruskan parti sewaktu UMNO berada di titik paling sukar selepas PRU14.
Tok Mat Maslan bukan ancaman beliau adalah aset. Keberanian beliau mempertahankan dasar-dasar pro-rakyat, kecekapan beliau menjawab serangan musuh dengan tenang, dan keupayaannya menyuntik semangat juang akar umbi adalah nilai-nilai yang semakin sukar ditemui dalam politik hari ini.
Politik Malaysia memerlukan lebih ramai tokoh seperti beliau yang tidak terpesona dengan ‘like’ di media sosial, tetapi bekerja secara senyap membina semula kekuatan parti dan menyantuni rakyat di bawah.
UMNO hari ini memerlukan suara-suara rasional, tegas dan berani. Dalam perjuangan politik yang kadang kala penuh liku dan khianat, kita memerlukan pemimpin yang tidak hanya popular di permukaan, tetapi kuat akarnya di bawah.
Tok Mat Maslan ialah antara sedikit nama yang layak mengisi ruang tersebut.
Tok Mat Maslan tidak sempurna. Tetapi kesetiaan, integriti dan keberaniannya dalam mempertahankan UMNO menjadikan beliau simbol ketahanan politik sebenar. Dan selagi beliau berdiri UMNO masih punya harapan untuk bangkit.
Dan kelmarin penulis hadir di Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Subang yang diketuai oleh Datuk Dr Armand Azha yang dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Haji Ahmad Maslan. Terpegun, kerana beliau kekal dan masih berbisa.

Comments
Post a Comment