Skandal Lesen Penerokaan Mineral: UMNO-BN Terpalit Tempias, PRN Sabah Jadi Medan Ujian


Kenyataan lantang Rafizi Ramli berhubung penganugerahan tanah berskala luar biasa kepada bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Dato’ Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, bukan sekadar retorik politik. Ia adalah satu tamparan terbuka terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri dan lebih parah, terhadap kredibiliti keseluruhan kerajaan perpaduan yang diterajui Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

Isu ini membabitkan lesen penerokaan mineral bernilai tinggi bukan sekadar tanah kosong di atas peta. Di sebalik kelulusan yang didedahkan, tersirat persoalan integriti, ketelusan dan prinsip tadbir urus yang selama ini dijadikan modal politik kerajaan Madani.
Rafizi bukan orang luar. Beliau adalah Timbalan Presiden PKR, tokoh utama dalam pembentukan kerajaan pasca PRU15. Maka apabila beliau sendiri mendesak agar siasatan SPRM dijalankan terhadap individu rapat dengan Perdana Menteri, ia menunjukkan retakan dalaman yang tidak lagi boleh disembunyikan.

Lebih mengejutkan, ini adalah kali pertama dalam era pentadbiran ini, seorang tokoh kepimpinan dari PKR dan bekas menteri lantikan Anwar sendiri mempersoalkan secara terbuka pengagihan kontrak kerajaan berskala besar dan mendakwa wujud unsur ‘pengaturan terancang’ yang menguntungkan kelompok tertentu.

Walaupun skandal ini kelihatan terikat dalam gelanggang PKR, ia bukan lagi isu dalaman parti apabila persepsi rakyat mula melebar kepada seluruh struktur kerajaan. UMNO dan BN sebagai sekutu utama dalam kerajaan perpaduan tidak mungkin terselamat daripada tempias politik dan kemarahan rakyat.

Persepsi adalah senjata paling tajam dalam politik. Jika UMNO dilihat membisu dalam isu sebesar ini, maka rakyat akan membaca sikap itu sebagai kompromi atau redha terhadap salah guna kuasa — walaupun ia bukan dilakukan oleh UMNO.

PRN Sabah yang bakal berlangsung dalam tempoh terdekat akan menjadi medan ujian utama kepada keupayaan UMNO BN memisahkan diri daripada beban persepsi ini.

Rakyat Sabah amat sensitif terhadap isu tanah, sumber asli dan campur tangan kuasa elit dari Semenanjung. Jika kegagalan kerajaan Madani dalam mengurus isu ini terus dibiarkan tanpa tindakan tegas atau penjelasan terbuka, ia berpotensi mencetuskan gelombang penolakan terhadap calon-calon kerajaan termasuk dari UMNO sendiri.

Tambahan pula, naratif “tanah untuk kroni, rakyat dibiar menanti” adalah peluru retorik yang sangat mudah dimainkan oleh pembangkang di lapangan.

Ada yang menganggap Rafizi “menggelupur” kerana dikecilkan peranan dalam pentadbiran kerajaan sekarang. Namun hakikatnya, kenyataan beliau telah membangkitkan persoalan yang sah dan perlu dijawab oleh pucuk pimpinan bukan disapu di bawah permaidani.

Jika tiada tindakan tegas diambil, atau sekurang-kurangnya penjelasan menyeluruh diberikan kepada rakyat, UMNO BN mungkin akan dipaksa membayar harga politik yang mahal. Lebih malang, harga itu dibayar bukan kerana kesalahan mereka, tetapi kerana memilih untuk berdiam diri.

UMNO BN perlu berhenti menjadi penumpang dalam krisis ini. Jika benar mahu menjadi komponen kerajaan yang berprinsip dan dihormati, inilah masanya untuk bersuara.

Skandal lesen penerokaan mineral ini bukan sahaja menguji kredibiliti Perdana Menteri, tetapi seluruh kerajaan yang berselindung di sebalik slogan Madani. Dan lebih penting ia menguji sama ada UMNO BN benar-benar berani menegakkan kebenaran, atau sekadar terus berdiam untuk menjaga kerusi.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.