PUTRAJAYA, 9 Julai 2025 – Mahkamah Persekutuan hari ini diberitahu bahawa permohonan semakan kehakiman oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sepatutnya boleh didengar di Mahkamah Tinggi lebih awal sekiranya Peguam Negara mengesahkan kewujudan perintah tambahan (titah adendum) berkait hukuman penjaranya.
Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendakwa pihak pendakwaan, khususnya Peguam Negara ketika itu, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, gagal bertindak secara telus apabila menolak permohonan awal anak guamnya berdasarkan alasan kononnya afidavit sokongan hanya berasaskan maklumat khabar angin dan tidak sah.
“Di Mahkamah Rayuan pun beliau tidak mengesahkan kewujudan dokumen itu. Tetapi di Mahkamah Persekutuan, akhirnya beliau mengakui perintah tambahan itu memang wujud,” kata Shafee di hadapan panel tiga hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Malaya, Datuk Mohd Hasnah Hashim.
Turut bersidang ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.
Shafee turut berhujah bahawa kegagalan pihak pendakwa, khususnya AG, untuk mengemukakan dokumen tambahan itu adalah satu bentuk kecuaian yang amat serius.
“Najib dipermainkan. Responden enggan memberi jawapan jelas sama ada perintah tambahan itu wujud atau tidak,” katanya.
Menurut beliau, Mahkamah Tinggi silap apabila menyatakan AG tidak berkewajiban untuk berlaku jujur di peringkat permohonan semakan, satu pendirian yang disifatkan Shafee sebagai “tragik”.
Beliau juga menegaskan bahawa AG mempunyai tanggungjawab untuk mendedahkan perintah tambahan tersebut kerana ia melibatkan titah diraja – dan bukan perkara biasa dalam sistem pentadbiran undang-undang.
Najib sebelum ini memfailkan semakan kehakiman bagi memohon kerajaan melaksanakan perintah tambahan bertarikh 29 Januari 2024, yang didakwa membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Permohonan itu difailkan selepas pengurangan hukuman penjara dari 12 tahun kepada 6 tahun oleh Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, serta denda dikurangkan dari RM210 juta kepada RM50 juta.
Afidavit sokongan turut difailkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada telefon bimbit Menteri Pelaburan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.
Namun, Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak permohonan tersebut atas alasan dokumen sokongan tidak mencukupi.
Pihak AG kini merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lalu yang membenarkan Najib mengemukakan bukti tambahan dan mengarahkan Mahkamah Tinggi mendengar permohonan semakan tersebut.
Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan semasa berhujah hari ini mengesahkan bahawa pihaknya mengakui kewujudan perintah tambahan itu semasa sesi hujahan pada 2 Julai lalu. Namun beliau tetap bertegas bahawa bukti baru yang dikemukakan oleh pihak Najib tidak memenuhi kriteria undang-undang untuk diterima.
“Kes yang dirujuk oleh Shafee berhubung kewajipan keterbukaan oleh pihak berkuasa awam tidak relevan dalam konteks ini,” katanya.
Mahkamah memaklumkan bahawa tarikh keputusan akan dimaklumkan kepada pihak-pihak terlibat dalam masa terdekat.
Najib kini menjalani hukuman penjara selama enam tahun selepas disabitkan dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd. Permohonan terbaharunya untuk tahanan rumah mencetuskan kontroversi apabila didedahkan bahawa wujud dokumen titah tambahan, yang hanya diakui kewujudannya di peringkat Mahkamah Persekutuan.
Kes ini sekali lagi mencetuskan perdebatan awam tentang ketelusan institusi kehakiman, kedudukan Peguam Negara sebagai pendakwa bebas, dan peranan istana dalam proses pengampunan diraja.

Comments
Post a Comment