"Kambing, Biri-Biri dan Monyet": Fadhli Shaari Perlu Didakwa Atas Hinaan Terhadap Peranan Malaysia Sebagai Pengerusi ASEAN


Kenyataan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, yang menyamakan konflik bersenjata antara Kemboja dan Thailand sebagai "perang antara kambing dan biri-biri", dan seterusnya menggambarkan Perdana Menteri Malaysia selaku Pengerusi ASEAN sebagai "monyet", adalah bukan sahaja biadab, malah menghina kedudukan Malaysia di mata antarabangsa.

Sebagai rakyat Malaysia, kita wajar merasa amat malu dan kesal atas kenyataan yang keluar daripada mulut seorang Ahli Parlimen yang sepatutnya lebih cermat dan matang dalam bicara. Kenyataan tersebut bukan sekadar tidak sensitif terhadap tragedi kemanusiaan dan geopolitik serantau, malah memperlekeh usaha diplomatik Malaysia di bawah kerangka ASEAN dalam menangani ketegangan serantau.

Malaysia kini mempengerusikan ASEAN sebuah tanggungjawab besar yang membawa imej dan suara rantau Asia Tenggara di pentas dunia. Namun, kenyataan seperti ini memberi gambaran bahawa wakil rakyat Malaysia sendiri tidak menghormati peranan tersebut, apatah lagi mempertahankannya.

Analogi “monyet” itu, walaupun kononnya bersifat sindiran sastera, adalah penghinaan terang-terangan kepada Perdana Menteri dan secara tidak langsung kepada seluruh negara yang sedang membawa suara damai melalui ASEAN.

Apa motif Fadhli Shaari? Adakah beliau menganggap usaha diplomasi ini tidak penting, atau sekadar mahu mencipta kontroversi murahan bagi meraih perhatian politik domestik?

Ini bukan kali pertama pemimpin PAS, khususnya Fadhli Shaari, menggunakan pendekatan analogi binatang dalam menghuraikan isu-isu besar. Dahulu, beliau pernah membandingkan pengeluaran KWSP sebagai suatu yang “seumpama meminang Puteri Gunung Ledang”. Kini, analogi kambing, biri-biri dan monyet pula digunakan bagi membicarakan isu perang dan keselamatan serantau.

Sejak bila perbahasan dasar luar negara dan nyawa manusia boleh diringankan dengan gaya bahasa dongeng dan khayalan sebegitu rupa?

Retorik seperti ini bukan sahaja menonjolkan ketidakmatangan politik, malah boleh mencetuskan kegusaran negara-negara jiran serta mencalarkan kredibiliti Malaysia sebagai suara sederhana dalam krisis serantau.

Kementerian Luar dan pimpinan kerajaan wajar mempertimbangkan tindakan terhadap kenyataan ini. Sama ada melalui kecaman rasmi, siasatan atau desakan agar Fadhli Shaari memohon maaf secara terbuka. Kita tidak boleh membiarkan Ahli Parlimen bebas bercakap sesuka hati dan merosakkan reputasi negara di peringkat antarabangsa.

PAS pula perlu bertanggungjawab terhadap sikap dan lidah para pemimpinnya. Jika Ketua Penerangan sendiri gemar bermain dengan analogi kebudak-budakan, maka tidak mustahil hala tuju parti itu juga tenggelam dalam retorik tidak berasas.

Apa yang berlaku ini bukan sekadar soal politik dalaman. Ini soal maruah negara. Seorang Ahli Parlimen menghina peranan Malaysia dalam ASEAN dengan analogi tidak bertanggungjawab. Jika ini dibiarkan, maka tidak mustahil Malaysia akan hilang suara dan dihormati sebagai pemimpin diplomasi serantau.

Sikap sambil lewa terhadap kenyataan seperti ini hanya akan membenarkan budaya politik longkang terus subur dalam demokrasi kita.

Malaysia bukan monyet. Dan rakyat Malaysia bukan kambing untuk terus dibodohkan.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.