KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh memuji tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memohon maaf atas kenyataannya sebelum ini berkaitan tugas sebagai Presiden parti.
Menurut Akmal, tidak mudah bagi seseorang untuk mengakui kesilapan dan memohon maaf, namun ia hanya mampu dilakukan oleh mereka yang berjiwa besar.
"Terima kasih Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Manusia tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Tetapi bukan mudah untuk mengakui kesilapan dan meminta maaf. Hanya yang berjiwa besar sahaja mampu melakukannya," katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Sebelum ini, Ahmad Zahid menyatakan kekesalannya kerana mengeluarkan kenyataan bahawa “malaikat pun tidak mampu menjadi presiden UMNO”, ketika menggambarkan kesukaran memimpin parti itu selepas kekalahan Barisan Nasional dalam PRU14.
Ahmad Zahid menjelaskan, kenyataan itu dibuat dalam keadaan emosi, namun beliau mengakui ia boleh mencetuskan kekeliruan dan disalah tafsir.
Beliau turut memohon ampun kepada Allah dan meminta maaf kepada semua pihak atas kekhilafan tersebut.
“Saya mohon ampun kepada Allah dan meminta maaf kepada semua atas kekhilafan dalam keterlanjuran kata-kata itu,” katanya.
Ahmad Zahid turut berkongsi bagaimana selepas PRU 2018, ramai yang meninggalkan UMNO ketika parti itu berdepan ujian besar, termasuk 47 pertuduhan ke atasnya serta isu pembekuan dan rampasan harta UMNO.
Beliau berkata, walaupun malaikat sekalipun mungkin tidak sanggup memikul tugas berat itu, beliau tetap setia bersama UMNO.
Ahmad Zahid juga berharap agar semua pemimpin dan ahli parti sentiasa menjaga adab dan berpegang kepada kebenaran dalam setiap tindakan dan kata-kata.

Comments
Post a Comment