Hanya dalam tempoh kurang dua tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), nama Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melonjak menjadi antara tokoh paling berpengaruh dalam dunia korporat Malaysia.
Dalam senarai syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, Farhash kini memegang jawatan Pengerusi bagi lima buah syarikat satu rekod yang jarang dicapai oleh mana-mana tokoh dalam tempoh yang begitu singkat, apatah lagi tanpa latar belakang korporat yang menonjol sebelum ini.
Pencapaian ini bukan sahaja mengejutkan banyak pihak, malah menimbulkan persoalan serius mengenai integriti, ketelusan dan konflik kepentingan dalam pentadbiran kerajaan perpaduan hari ini.
Farhash bukan tokoh biasa. Beliau adalah individu yang pernah berada di sisi Anwar Ibrahim, menyandang jawatan Setiausaha Politik satu posisi strategik yang melibatkan akses langsung kepada maklumat dasar, peluang perniagaan dan jaringan kuasa elit dalam negara.
Lalu, apabila individu seperti ini melonjak dalam dunia perniagaan secara mendadak dan serentak dalam pelbagai syarikat tersenarai, rakyat mula bertanya: Adakah ini kebetulan?
Atau adakah sistem ekonomi negara kini dipengaruhi oleh kuasa politik sehingga mewujudkan kelompok "kroni baru" yang muncul selepas PRU15?
Lebih menarik, isu ini tidak didedahkan oleh pembangkang, tetapi oleh Rafizi Ramli sendiri rakan dalam PKR, Timbalan Presiden parti, dan bekas Menteri dalam kabinet yang sama.
Rafizi secara terbuka menyerang isu penguasaan perniagaan Farhash, dan mendesak agar SPRM menyiasat kemungkinan salah guna kuasa dan pengaruh dalam penganugerahan tanah serta kontrak mineral yang bernilai besar.
Kritikan ini menunjukkan retakan dalaman yang serius dalam PKR dan menandakan hilangnya kepercayaan sesama sendiri dalam kerajaan.
Tetapi lebih besar dari itu ia membuka ruang persepsi umum bahawa kerajaan Madani hari ini sedang mewujudkan kumpulan elit korporat baharu di bawah selimut reformasi.
UMNO dan Barisan Nasional, sebagai rakan kongsi dalam kerajaan perpaduan, tidak boleh mengelak daripada menerima tempias politik isu ini.
Rakyat tidak akan memilih siapa yang salah secara individu tetapi mereka akan menghukum secara kolektif. Dan di Sabah, rakyat sudah lama sensitif terhadap isu penguasaan tanah, penerokaan sumber asli, dan kerakusan elit dari Semenanjung.
Sekiranya naratif ini tidak ditangani dengan segera, UMNO BN Sabah bakal berdepan dengan gelombang ketidakpercayaan yang semakin membesar, khususnya daripada pengundi muda dan pengundi luar bandar yang sering merasakan hak mereka diketepikan dalam isu hasil bumi.
Jika Farhash menjadi simbol “orang dalam” yang mendapat kekayaan secara luar biasa, maka UMNO BN boleh dituduh sebagai "bersubahat melalui diam" dan itu adalah persepsi paling merbahaya dalam politik.
UMNO tidak boleh terus pasif dalam isu ini. Keengganan untuk bersuara atau membezakan pendirian hanya akan menguatkan imej bahawa UMNO hari ini adalah "parti penumpang" dalam kerajaan dan itu akan memusnahkan saki-baki kepercayaan akar umbi, terutamanya di Sabah.
UMNO BN Sabah perlu menuntut penjelasan terbuka, menyatakan pendirian tegas terhadap isu-isu seperti ini, dan menunjukkan bahawa mereka bukan sebahagian daripada permainan kuasa elit.
Pencapaian Farhash Salvador dalam dunia korporat mungkin boleh dijulang oleh sesetengah pihak sebagai “kisah kejayaan pasca-politik”. Namun dalam dunia sebenar politik dan persepsi awam, kisah ini lebih banyak menimbulkan kebimbangan dan pertanyaan daripada kekaguman.
Dan untuk UMNO-BN, khususnya di Sabah diam bukan lagi pilihan. Jika mereka tidak mengambil pendirian jelas sekarang, PRN Sabah mungkin menjadi medan kehilangan sokongan yang lebih parah daripada yang dijangkakan.
Malaysia hari ini tidak boleh ditadbir atas nama reformasi tetapi dipenuhi wajah kronisme yang baru. Rakyat sedang memerhati dan mereka akan menghukum, jika perlu.

Comments
Post a Comment