Naratif Jahat “UMNO Tak Bantu Bossku” Perlu Ditamatkan


Usah terpedaya dengan naratif murahan kononnya “UMNO langsung tidak membantu Bossku”. Itu bukan fakta, itu fitnah terancang. Tujuannya hanya satu, memecah-belahkan kesetiaan ahli UMNO terhadap parti sendiri.

Naratif ini sengaja disebar untuk menyemai rasa kecewa dalam kalangan penyokong tegar Dato’ Seri Najib Razak. Apabila kepercayaan mereka terhadap UMNO goyah, pihak yang menangguk di air keruh akan bersorak melihat UMNO berpecah.

Hakikatnya, UMNO tidak pernah berpangku tangan. UMNO bertindak dalam kerangka undang-undang dan sistem Raja Berperlembagaan. Parti telah menyediakan pasukan peguam, menggerakkan sokongan moral akar umbi, serta mengemukakan permohonan pengampunan melalui saluran rasmi dan beradab.

Presiden UMNO sendiri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, turun ke gelanggang undang-undang dengan mengemukakan affidavit peribadi dan ini adalah satu tindakan berani yang bukan sahaja menongkah arus kerajaan, malah menegaskan pendirian parti dalam menuntut keadilan dan hak Bossku untuk perbicaraan yang adil.

Terkini, UMNO secara terhormat dan beradab, mengutus permohonan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, memohon pertimbangan untuk pengampunan penuh kepada Bossku.

UMNO bukan parti jalanan. Parti ini tidak berpolitik dengan ugutan, tidak menekan institusi kehakiman. Jika UMNO melakukannya, nescaya akan dituduh mencemar kedaulatan undang-undang.

Namun, kerana UMNO memilih jalan terhormat dan berprinsip, UMNO dan pemimpinnya dituduh pula tidak membantu.

Sebenarnya, inilah wajah bantuan sebenar, bantuan yang penuh tanggungjawab, berlandaskan undang-undang, dan menjaga maruah kedua-dua pihak iaitu individu dan institusi.

Prinsip UMNO konsisten dan jelas, mempertahankan maruah Bossku tanpa menjejaskan integriti sistem keadilan dan Raja Berperlembagaan. Ini bukan sekadar sokongan emosi, ini adalah perjuangan berstrategi dan berperlembagaan.

Mereka yang menyebar naratif songsang ini tidak mahu keadilan tetapi mereka hanya mahu UMNO hancur.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.