Kerajaan komited mempercepat agenda pembangunan luar bandar menerusi pendekatan sinergi yang lebih tersusun dan berfokus. Hari ini, Mesyuarat Penyelarasan Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) Bil. 1/2025 yang di pengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri KKDW telah berlangsung dengan jayanya, menghimpunkan seluruh Exco Luar Bandar dari setiap negeri dalam usaha memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
MEXCLUB berperanan penting sebagai platform penyelarasan dasar, program serta projek pembangunan desa secara holistik, khususnya dalam pelaksanaan inisiatif Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan agensi berkaitan.
RM750,000 Untuk Setiap Negeri: Infrastruktur Asas Terus Jadi Keutamaan
Dalam mesyuarat tersebut, semua pihak bersetuju untuk meneruskan peruntukan RM750,000 kepada setiap wakil negeri bagi melaksanakan projek asas luar bandar seperti Jalan Perhubungan Desa (JPD) dan Program Ameniti Sosial (PAMS). Sepanjang tahun lalu, sebanyak 114 projek telah diluluskan, dengan 77 daripadanya berjaya disiapkan, manakala selebihnya dalam fasa pelaksanaan.
Ini membuktikan kecekapan pelaksanaan dan impak nyata kepada kehidupan masyarakat desa. Infrastruktur asas bukan sekadar jalan dan kemudahan, tetapi merupakan asas kepada mobiliti ekonomi dan sosial luar bandar.
Pembangunan Modal Insan Diperkemas: Premis KEMAS Diwartakan
Langkah penting turut diumumkan dalam memperkukuh pengurusan pendidikan dan latihan komuniti – Kerajaan Negeri diseru mewartakan premis-premis KEMAS. Usaha ini bertujuan mengelakkan pertindihan pengurusan antara peringkat Persekutuan dan Negeri, seterusnya memperkemas penyelenggaraan dan memperluas kapasiti Program Pembangunan Modal Insan Komuniti.
Orang Asli Tidak Ditinggalkan: Akta 134 Dipinda Demi Hak & Masa Depan
Sebagai tanda keprihatinan terhadap komuniti Orang Asli, pindaan terhadap Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) kini berada di fasa akhir penyediaan dan dijangka dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya Mac 2026. Ini merupakan satu anjakan penting dalam memperkukuh hak, perlindungan dan pembangunan komuniti Orang Asli di negara ini.
Desa Kirana: Pelancongan Komuniti Sebagai ‘Game Changer’ Baharu
Program Desa Kirana dilancarkan sebagai inisiatif baharu memperkasakan ekonomi desa melalui pelancongan berasaskan komuniti. Program ini akan mengangkat warisan budaya, keindahan alam semula jadi, makanan tradisi, kraftangan serta aktiviti desa sebagai satu pakej pelancongan unik dan autentik – selaras dengan sasaran Tahun Melawat Malaysia 2026.
Dengan pendekatan komuniti sebagai pemacu utama, sasaran program ini ialah meningkatkan pendapatan masyarakat desa sebanyak 20% menjelang 2026.
Struktur Baharu: High-Level Committee (HLC) Pembangunan Desa
Bagi menangani isu pertindihan serta kelewatan dalam pelaksanaan, mesyuarat turut bersetuju menubuhkan High-Level Committee (HLC) Pembangunan Desa. HLC ini akan menjadi struktur koordinasi tertinggi untuk memastikan semua inisiatif pembangunan desa digerakkan secara lebih sistematik, telus dan berimpak tinggi.
Melalui MEXCLUB, pendekatan pembangunan luar bandar kini lebih berfokus, inklusif dan berpaksikan kerjasama antara kerajaan dan komuniti. Komitmen ini menandakan satu era baharu untuk desa bukan lagi sebagai kawasan pinggiran, tetapi sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi dan sosial negara.
Comments
Post a Comment