Fitnah “UMNO Sorok Titah Addendum”: Siapa Dalang Sebenar?


Benarkah UMNO menyembunyikan titah addendum berkaitan Dato' Sri Najib Tun Razak?

Persoalan ini bukan sahaja mengelirukan, malah adalah naratif jahat yang disusun rapi oleh musuh politik UMNO. Mereka yang pernah menghantar Bossku ke penjara kini berlakon kononnya pembela.

Fitnah ini dimainkan semata-mata untuk memecahbelahkan kesatuan dalam UMNO, khususnya dalam kalangan ahli yang masih setia dan hormat kepada perjuangan serta sumbangan Dato' Sri Najib. Ia bertujuan melaga-lagakan pimpinan UMNO dan akar umbi, dengan tohmahan bahawa kononnya pemimpin parti sendiri sanggup ‘menyekat’ kebebasan Bossku demi kekal berkuasa.

Hakikatnya, tiada satu pun bukti bahawa UMNO menyembunyikan titah. Titah atau dokumen berkaitan pengampunan berada di bawah bidang kuasa mutlak Istana Negara dan Peguam Negara, bukan dalam simpanan atau kuasa mana-mana parti politik.

Proses Telus, Bukan Konspirasi

Pasukan guaman Dato' Sri Najib telah memfailkan afidavit di mahkamah untuk mendapatkan pengesahan terbuka terhadap dokumen berkaitan. Segalanya berada dalam jalur perundangan yang sah, telus dan boleh disemak oleh sesiapa sahaja.

Adakah UMNO menyekat? Tidak sama sekali.

Siapa Sebenarnya Mulakan Pendakwaan Bossku?

Fakta tidak boleh dilupakan:

1. Pendakwaan terhadap Bossku bermula pada 4 Julai 2018, ketika Tun Mahathir dan Parti Bersatu memimpin kerajaan.

2. Kes dibicarakan dan disabitkan semasa Bersatu menerajui kuasa.

3. Dato’ Sri Najib dipenjara ketika PAS dan Bersatu berada di dalam Kabinet.

Dan kini, kumpulan yang pernah memburu Bossku tampil sebagai pembela kononnya, lalu melempar fitnah kepada UMNO, satu plot penuh hipokrasi.

UMNO Konsisten Bela Bossku Secara Bermaruah

UMNO sejak awal telah menyatakan pendirian tegas menyokong pengampunan penuh Bossku melalui saluran yang sah, terhormat dan berperlembagaan:

1. Menghantar permohonan rasmi kepada Seri Paduka Baginda YDPA

2. Menyuarakan keadilan dalam forum dan media secara berhemah

3. Tidak pernah mencaci atau menyerang institusi kehakiman

Malah, pengampunan separuh hukuman yang diberikan kepada Bossku berlaku ketika era Kerajaan Perpaduan, bukan ketika Bersatu berkuasa.

Muslihat Memecahkan UMNO Gagal

Tuduhan “UMNO sorok titah” hanyalah skrip lama yang diulang siar oleh mereka yang ketandusan modal politik. Setelah mereka memulakan pendakwaan, kini mereka mahu alih perhatian dengan menyalahkan pihak lain pula.

UMNO tidak tunduk pada tekanan politik murahan. UMNO tetap konsisten mempertahankan maruah Bossku, menjunjung institusi Raja, dan menegakkan kedaulatan undang-undang, tanpa memperdagangkan kehakiman demi laba politik sempit.

UMNO tidak akan biarkan parti ini diporak-perandakan oleh musuh yang berselindung di balik air mata buaya.

UMNO bukan pengkhianat dan Bossku tahu siapa sebenarnya yang menikam dari belakang.

Comments

VIDEO WAJIB TONTON : Apa maksud DS Ahmad Maslan tentang dia saksi hidup dalam isu Mas Ermieyati

VIDEO PILIHAN : Sahur di "Traffic Light"