PRK Ayer Kuning : Pertandingan tiga penjuru

 


TAPAH: Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning akan berlangsung pada 26 April ini. Tiga calon daripada tiga parti akan bertanding.

Dr Mohamad Yusri Bakir, berumur 54 tahun, calon daripada Barisan Nasional (BN) yang mewakili parti UMNO. Beliau juga merupakan Setiausaha UMNO Bahagian.


Beliau akan berdepan saingan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44, dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40.

PRK kali ini menyaksikan tiada calon Bebas bertanding untuk merebut kerusi disandang Allahyarham Ishsam Shahruddin, 58, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.

Senarai calon bertanding itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori, pada jam 10.23 pagi selepas proses penamaan di Dewan Merdeka, di sini, ditutup pada jam 10 pagi.


Terdahulu sejurus pusat penamaan calon dibuka pada jam 9 pagi, Abd Muhaimin menyerahkan borang pencalonannya pada jam 9.01 pagi, diikuti Mohamad Yusri pada jam 9.06 pagi.

Bawani yang menarik perhatian ramai apabila hadir ke pusat penamaan bersama penyokong dengan menaiki traktor sebagai gimik pula menyerahkan borang pencalonannya pada jam 9.15 pagi.

Terdahulu, anggota dan pegawai polis melakukan kawalan keselamatan di pusat penamaan calon itu seawal jam 6.30 pagi tadi bagi memastikan proses terbabit berjalan lancar.

Pemimpin dan penyokong parti dilihat mula berkumpul seawal jam 7 pagi bagi memberi sokongan moral kepada bakal calon masing-masing.

Mohamad Yusri yang lengkap berpakaian baju Melayu dan bersamping biru hadir ke Dewan Merdeka dengan diiringi oleh Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; serta Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Sokongan turut dizahirkan pemimpin parti komponen Kerajaan Perpaduan, antaranya Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu, dan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.

Abd Muhaimin pula hadir bersama rombongan penyokong PN termasuk, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, dan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 26 April ini, manakala pengundian awal akan diadakan pada 22 April.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari, bermula selepas pengisytiharan calon hingga jam 11.59 malam 25 April ini
.








Comments

VIDEO WAJIB TONTON : Apa maksud DS Ahmad Maslan tentang dia saksi hidup dalam isu Mas Ermieyati

VIDEO PILIHAN : Sahur di "Traffic Light"