Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa rundingan bagi meminda kuota satu pertiga atau 35 peratus kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak perlu dibincangkan bersama semua parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan MADANI.
Menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, perkara tersebut juga perlu diperhalusi di peringkat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
“Kita masih belum memulakan penelitian mengenai rundingan ini kerana ia memerlukan perbincangan bersama parti-parti komponen dalam Kerajaan MADANI. Selain itu, kita juga perlu berbincang dengan SPR berkaitan isu ini,” katanya kepada media ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Lebaran Kasih Aidilfitri anjuran beliau, semalam.
Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa semua pemimpin, termasuk daripada blok pembangkang, akan turut serta dalam perbincangan tersebut apabila tiba masanya nanti.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan berkata bahawa rundingan berhubung pindaan kuota kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak perlu diadakan secara bersemuka, khususnya melibatkan Ahli Parlimen dari Semenanjung.
Untuk rekod, persempadanan semula kawasan Parlimen kali terakhir diadakan pada tahun 2006, dengan Sabah dan Sarawak masing-masing kini mempunyai 25 dan 31 kerusi Parlimen, menjadikan jumlah keseluruhan 56 kerusi atau kira-kira 25 peratus daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid turut menyatakan bahawa BN sentiasa terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.
Beliau berkata, perbincangan awal mengenai kerjasama ini telah diadakan antara BN, Pakatan Harapan (PH) serta beberapa parti lain di Sabah.
“Sebaiknya, apabila semua pemimpin parti berjaya mencapai kata sepakat, pengumuman rasmi akan dibuat. Namun begitu, rundingan bersama pelbagai pihak masih berjalan pada ketika ini,” jelasnya.
Untuk makluman, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin telah mengumumkan bahawa UMNO akan bergabung dengan PH bagi menghadapi PRN Sabah yang bakal diadakan.
Comments
Post a Comment