Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memberi tempoh sebulan kepada pihak yang menceroboh tanah masjid di pekan Dengkil dengan pembinaan rumah ibadat haram untuk mengosongkan kawasan itu.
Pengarah Jais, Mohd Shahzihan Ahmad, berkata pihaknya tidak membuat laporan polis berhubung pencerobohan itu memandangkan surat telah dikeluarkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sepang untuk bertindak berdasarkan undang-undang.
Katanya, Jais memandang serius pencerobohan itu selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang mahu tanah di bawah kawalan badan tersebut bebas daripada sebarang pencerobohan.
"Jais akan bekerjasama dengan PDT Sepang untuk memastikan tindakan bagi pengosongan tanah di tapak pembangunan masjid Dengkil dibuat dalam tempoh satu bulan.
"Kami akan terus memastikan tiada sebarang bentuk pencerobohan terhadap mana-mana tanah di bawah kawalan Jais dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya jika ia masih berlaku," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Timbalan Pengarah Pengurusan Jais, Mohd Faizal Abd Raji dan Pegawai Daerah Sepang, Khairi Azali Ibrahim melawat ke tapak berkenaan yang diceroboh dengan pembinaan rumah ibadat haram.
Turut serta dalam kunjungan tersebut ialah Penyelaras DUN Dengkil, Noorazli Said, yang mengesahkan status tanah berkenaan kekal sebagai milik Jais untuk pembinaan masjid.
Hasil tinjauan mendapati terdapat sebuah kuil Hindu dan sebuah tokong kecil berunsur kepercayaan Cina dibina secara tidak sah di atas tanah itu.
Bagaimanapun, perbincangan dengan komuniti India setempat berlangsung secara baik dan membawa kepada keputusan bersama.
Mohd Shahzihan memaklumkan proses pembinaan masji baru Dengkil di tapak berkenaan akan bermula pada tahun depan.
Pada masa sama, katanya, Jais juga akan membuat pemeriksaan ke atas semua tanah miliknya dalam tempoh sebulan ini bagi memastikan ia bebas daripada sebarang pencerobohan.
"Jais akan bersama-sama PDT dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam perkara ini.
“Orang awam atau pihak yang mengetahui sebarang bentuk pencerobohan terhadap tanah di bawah kawalan Jais juga diminta terus menyalurkan maklumat kepada kami atau pihak berkuasa negeri," katanya lagi.
Comments
Post a Comment