Perlukah DBKL guna kekerasan terhadap penjaja belon?


Tindakan sekumpulan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap seorang penjaja belon di ibu negara malam tadi disifatkan sebagai keterlaluan.

Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah, menegaskan bahawa penguat kuasa tidak sepatutnya menggunakan kekerasan dalam melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat.

"Saya ingin menegur cara mereka menggunakan kuasa yang begitu biadab, sedangkan apabila warga asing berniaga secara haram, mereka tidak bertindak sampai ke tahap seperti ini.

"Lihat sahaja peniaga-peniaga asing tanpa lesen yang beroperasi di sekitar Chow Kit, Pasar Selayang, Cheras, Jalan Silang, dan banyak lagi lokasi, namun tiada tindakan tegas diambil," katanya menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.

Sebelum ini, Armand Azha menyatakan bahawa tindakan penguat kuasa terhadap penjaja belon tersebut sepatutnya dilakukan dengan lebih berhemah tanpa menggunakan kekerasan secara terbuka, terutama dalam bulan Ramadan.

Menurutnya, perniagaan belon seperti itu bersifat bergerak tanpa memerlukan tapak tetap, maka perlu ada pertimbangan dan budi bicara dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan apakah matlamat sebenar tindakan yang diambil oleh penguat kuasa DBKL terhadap penjaja belon tersebut.

"Apa sebenarnya yang DBKL mahu buktikan dan tunjukkan kepada rakyat? Budaya samseng? Budaya membuli? Budaya kuku besi?

"Saya mendesak pihak Menteri Wilayah untuk mengambil tindakan terhadap anggota penguat kuasa yang tular di media sosial kerana tindakan mereka telah mencemarkan kredibiliti serta maruah DBKL, sekali gus menjejaskan imej Kerajaan Madani.

"Ini bulan Ramadan, bulan yang mulia. Tunjukkanlah akhlak dan sikap yang baik kepada rakyat," tegasnya.






Comments

VIDEO WAJIB TONTON : Apa maksud DS Ahmad Maslan tentang dia saksi hidup dalam isu Mas Ermieyati

VIDEO PILIHAN : Sahur di "Traffic Light"